Aura positif sukan ragbi negara – Dugro

KUALA LUMPUR: Pemain kebangsaan, K Dineshwaran berpandangan sukan ragbi di Malaysia berkembang dengan positif dan semakin mendapat perhatian orang ramai berdasarkan kehadiran penonton untuk menyaksikan perlawanan sepanjang saingan Piala Agong yang berakhir, semalam.

Dineshwaran yang diberi julukan Dugro, berkata walaupun terdapat jurang berbanding negara kuasa besar yang lain seperti Jepun, namun kualiti barisan pemain tempatan sudah mula menunjukkan peningkatan positif.

Katanya, ia menjadi salah satu faktor yang berjaya menarik kehadiran penonton untuk menyaksikan perlawanan ragbi di negara ini seperti mana yang dilihat sepanjang saingan Piala Agong.



“Saya gembira balik ke Malaysia dan bermain untuk pasukan Putrajaya dalam kejohanan Piala Agong. Semua pihak bekerjasama dengan masing-masing meletakkan sasaran mahu menjadi juara.

“Jika dibandingkan dengan sukan ragbi di negara luar sudah tentu banyak bezanya namun Malaysia semakin menunjukkan peningkatan positif.

“Paling tidak disangka adalah kehadiran penonton sepanjang tempoh berlangsungnya Piala Agong cukup ramai dan ini menunjukkan ragbi sememangnya mempunyai penyokong di negara ini,” katanya yang berpengalaman lebih lapan tahun beraksi di Liga Ragbi Jepun.



Semalam, Dugro menjadi menjadi antara watak penting membantu Putrajaya merangkul kejuaraan pertama Piala Agong selepas menundukkan juara bertahan, Terengganu 18-15 dalam aksi final di Stadium TUDM Subang.

Dalam perkembangan lain, Dugro memberitahu masih belum ada sebarang keputusan berhubung masa depannya yang sebelum ini dilaporkan akan mengembangkan kerjaya ke Liga Ragbi Amerika Syarikat, bersama kelab Houston Sabercats.

“Pada masa sekarang, saya belum lagi ada kata putus berhubung kontrak untuk beraksi di Liga Ragbi Amerika Syarikat.

“Saya akan membuat pengumuman berkaitan perkara itu apabila mendapat pengesahan nanti,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button