Juruteknik aplikasi sosial perlu dituduh semula isu stoking kalimah Allah

Oleh – Syeikh Baran


Juruteknik aplikasi sosial perlu dituduh semula isu stoking kalimah Allah
CHIOK Wai Loong

Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 terhadap seorang juruteknik aplikasi sosial selepas mengaku bersalah membuat hantaran bersifat jelik berkaitan isu stoking kalimah Allah.

Hakim Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas membenarkan semakan difailkan tertuduh, Chiok Wai Loong, 35, supaya pengakuan salah dibuatnya atas pertuduhan berkenaan sebelum ini adalah bukan akuan jelas, tanpa bersyarat dan tidak boleh diterima.

“Selepas mendengar hujahan pihak-pihak (pembelaan tertuduh dan pendakwaan), mahkamah membatalkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen terhadap sabitan dan hukuman, dengan itu tertuduh diarahkan ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan secara penuh.

“Tertuduh diarahkan dipertuduhkan semula tetapi di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen berlainan dalam kadar segera,” katanya.

Ahmad berkata, pertuduhan itu dibuat tergesa-gesa dan nota keterangan hakim tidak jelas.

Chiok diwakili peguam, N Surendren manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh.

Pada 22 Mac lalu, Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Chiok yang mendakwa hanya menjadi ‘keyboard warrior’ dan tidak mengetahui kalimah Allah yang ditulis menghina agama Islam.

Lelaki itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Chiok Wai Loong’ pada 18 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 231(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama yang memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang juruteknik dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kerana membuat hantaran menghina agama Islam berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di Facebook miliknya.

Suzana juga memerintahkan Chiok dipenjara tiga bulan jika gagal menjelaskan denda, dan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu 20 Mac lalu.

Sebelum ini, media melaporkan lelaki itu tampil memohon maaf secara terbuka selepas didakwa menambahkan ketegangan dalam isu penjualan stoking bertulis kalimah Allah di sebuah kedai serbaneka.

Dia membuat permohonan itu dengan dikelilingi sekumpulan lelaki yang mencarinya kerana tidak berpuas hati dengan komennya.

Lelaki itu mencetuskan kemarahan pengguna maya selepas didakwa mengeluarkan komen meminta orang ramai tidak terlalu sensitif dengan isu itu.

Dia malah didakwa cuba membuat kelakar dengan memuat naik gambar stoking yang memuatkan wajahnya sendiri.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker