Tangani segera isu kekurangan bekalan telur – CAP
Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyelesaikan masalah kekurangan bekalan telur ayam dengan segera.
Gesaan itu berikutan dakwaan kebanyakan peniaga runcit dan pasar awam mengenai kesukaran mereka mendapat bekalan itu sejak dua bulan lalu.
Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan sumber protein termurah berkenaan pada masa depan.
“Tinjauan CAP mendapati telur ayam masih terdapat di pasar awam dan kedai runcit di sekitar Gelugor, Bayan Baru, Jelutong dan Batu Lanchang.
“Bagaimanapun, peniaga runcit mendakwa sukar bagi mereka mendapat bekalan kerana kuantiti yang diterima daripada pemborong adalah kurang berbanding peniaga di pasar,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Mohideen berkata, selain kekurangan telur ayam, CAP juga mendapati ada peniaga yang menjual telur segar gred rendah seperti gred A dan B sebagai telur premium (gred AA) yang dijual pada harga 66 sen sebiji.
Sebagai rujukan, telur gred A sudah ditetapkan pada 45 sen sebiji dan telur gred B sebanyak 43 sen.
“Sehubungan itu, CAP menggesa KPDNKSH menyiasat perkara ini kerana golongan berpendapatan sederhana akan terjejas teruk akibat kenaikan harga barang.
“Tindakan segera perlu diambil bagi mengurang dan mengawal harga semua barangan,” katanya lagi.
Menurut Mohideen, Pasukan Petugas Khas Jihad Melawan Inflasi baru-baru ini sudah mengenal pasti kos makanan ayam yang tinggi sebagai punca terhadap kekurangan bekalan telur ayam.
“Jadi, mengapa mereka tidak berunding dengan penternak ayam lebih awal dan mengambil tindakan pembaikan?
“Sekiranya penternak ayam sudah memberi maklum balas, adakah Pasukan Petugas berkenaan berbincang dengan pengeluar makanan tempatan tentang cara menghasilkan makanan yang lebih murah menggunakan sisa isirung sawit, memandangkan kos makanan adalah isu utama yang menjadi pertikaian?” katanya.
METRO