Bantahan awal permohonan Siti Bainun didengar Januari depan

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menetapkan 4 Januari depan untuk mendengar bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan Siti Bainun Ahd Razali supaya dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella yang dihadapinya disemak semula.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor yang mewakili pengasas Rumah Bonda itu memberitahu mahkamah bahawa bantahan awal yang difailkan oleh pendakwaan pada 1 Disember lalu sudah diserahkan kepada pembelaan pada 5 Disember lalu.

Mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan masing-masing dalam tempoh dua minggu.



Dalam notis usul yang difailkan pada 30 November lalu dengan menamakan Pendakwa Raya selaku responden, Siti Bainun memohon untuk menyemak dua pertuduhan itu apabila Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi tidak mempertimbangkan isu berkenaan pertuduhan-pertuduhan berkenaan yang didakwa defektif (cacat) dan prejudis ketika memerintahkannya membela diri.

Siti Bainun selaku pemohon mendakwa perintah Hakim Mahkamah Sesyen itu untuk memanggilnya membela diri pada 24 November lalu adalah batal dan tidak sah kerana gagal menilai kecacatan pertuduhan-pertuduhan di dalam penghakiman yang dibacakan di mahkamah terbuka pada hari berkenaan (24 November 2022).

Terdahulu, Nur’Aminahtul Mardiah memberitahu mahkamah bahawa kehadiran anak guamnya dikecualikan hari ini kerana dia diberi sijil cuti sakit selama 22 hari bermula 28 November lalu kerana masalah kesihatan.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.



Mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, perbuatan itu membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button