Laut bergelora, harga ikan meningkat

KUALA KEDAH: Harga ikan dan hasil tangkapan laut di negeri ini meningkat sejak sebulan lalu berikutan faktor cuaca yang menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut dan hasil tangkapan berkurangan.

Tinjauan di pelantar ikan Kampung Seberang Kota di sini, mendapati harga ikan kembung dijual antara RM10 hingga RM12 sekilogram bergantung pada saiz dan jenis berbanding harga di pasar awam sekitar RM15 hingga RM17 sekilogram.

Kebanyakan peniaga mendakwa, peningkatan harga disebabkan ramai nelayan tidak dapat turun ke laut akibat ombak besar.

Peniaga ikan, Ahmad Hashim, 76, berkata harga bergantung pada hasil tangkapan dan selain ikan kembung, harga sotong turut melonjak daripada RM20 hingga RM25 sekilogram menjadi RM30 hingga RM35 sekilogram.



“Harga ikan lain dan udang juga naik, ikut hasil tangkapan setiap hari,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seorang lagi peniaga, Mohd Fisol Md Isa, 52, berkata jualan hasil ikan di pelantar yang sebelum ini dilakukan pagi dan petang, kini hanya dibuat pada sebelah pagi disebabkan pendaratan ikan yang berkurangan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Abdul Hamid Bahari mengakui hasil tangkapan ikan berkurangan disebabkan Monsun Timur Laut.

Beliau berkata, hasil tangkapan dijangka pulih hujung bulan ini.



“Kita mempunyai 50,000 hingga 60,000 nelayan di negara ini namun sebahagian besar yang turun ke laut adalah bot besar kelas C manakala bot pesisir pantai hanya turun ke laut bergantung pada cuaca dan keadaan ombak.

“Apabila ikan berkurangan tetapi permintaan tinggi, harganya meningkat kerana pengaruh kos operasi.

“Kita jangka keadaan kembali pulih hujung bulan ini,” katanya.

Abdul Hamid berkata, orang ramai boleh membeli ikan sejuk beku atau ‘Q-Fish’ di semua Persatuan Nelayan Kawasan negeri masing-masing atau tempat simpanan ikan sejuk beku.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker