Ramos bakal curi tumpuan berdepan Maghribi

DOHA: Jurulatih Portugal, Fernando Santos meletakkan kepercayaan terhadap Goncalo Ramos apabila dia memulakan pemain itu ketika berdepan Switzerland dan penyerang muda itu membalas dengan meledak hatrik yang membawa mereka ke suku akhir Piala Dunia pertama kali sejak 2006.

Ramos, 21, menjadi tajuk utama apabila dipilih mengetuai serangan menggantikan penjaring terbanyak sepanjang zaman Portugal, Cristiano Ronaldo yang kini diletakkan di bangku simpanan.

Ia tidak memerlukan masa yang lama buat pemain muda itu menjadi antara cerita terbesar pada Piala Dunia Qatar.

Ramos membuat penampilan pertama ketika Portugal menang 4-0 mengatasi Nigeria dalam aksi pemanas badan sebelum Piala Dunia dan bermain secara keseluruhan 10 minit sebagai pemain gantian dalam dua daripada tiga aksi kumpulan.



Dia membuka jaringan berdepan Switzerland dengan cubaan hebat di penjuru gawang selepas 17 minit dan menambah jaringan kedua pada minit ke-51 apabila melepasi penjaga gol Yann Sommer sebelum mengumpan buat gol Raphael Guerreiro empat minit kemudian.

Dia melengkapkan hatrik apabila meledak hantaran Joao Felix dengan menyungkit bola mengatasi Sommer sebelum digantikan.

Tiga gol pemain Benfica itu menjadikan dia pemain pertama meledak hatrik pada penampilan penuh Piala Dunia sejak Miroslav Klose berdepan Arab Saudi pada 2002, dan dia kini bersaing untuk merebut Kasut Emas bersama penyerang Perancis, Kylian Mbappe yang mendahului dengan lima gol.

Mungkin Ramos, yang membantu Benfica mara ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara musim ini, beruntung apabila diletakkan sebagai penyerang ketiga dalam skuad di belakang Ronaldo dan Andre Silva.



Dan dia kini akan menjadi tumpuan apabila jurulatih Maghribi, Walid Regragui memikirkan taktiknya.

Maghribi berdepan dilema pada bahagian pertahanan selepas Nayef Aguerd cedera berdepan Sepanyol dan Regragui mungkin akan meletakkan kapten, Romain Saiss untuk menjaga Ramos.

REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker