Sensasi Rifdean di pentas ONE Championship

Oleh – Syeikh Baran


Sensasi Rifdean di pentas ONE Championship
Rifdean mengungguli ONE Friday Fights 56 setelah menumpaskan petinju Thailand di Bangkok pada malam Jumaat. Foto Agensi

ATLET Muay Thai negara, Mohd Rifdean Masdor melakar sensasi apabila menumpaskan wakil Thailand, Pichai Lookbanmai dengan pukulan Technical Knockout (TKO) dalam pertarungan ONE Friday Fights 56 di Thailand pada malam Jumaat.

Kemenangan menakjubkan itu diraih dalam masa 1 minit 18 saat pada pusingan pertama dalam aksi ONE Championship di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok.



Petinju berusia 21 tahun itu tidak dapat menyembunyikan kegembiraan di atas kejayaan tersebut kerana ia merupakan pertarungan pertamanya di pentas berprestij berkenaan.

“Syukur Alhamdulillah. Menerusi kemenangan ini mendorong saya untuk terus bekerja keras bagi menyahut lebih banyak cabaran selepas ini,” katanya menerusi catatan di Instagram.

Menerusi kemenangan itu, Rifdean yang mewakili pasukan Sor Sommai berjaya memperoleh bonus sebanyak 350,000 bhat (RM45,700).

Dalam pertarungan tersebut, petinju dari Perak itu mempamerkan aksi yang cukup bertenaga apabila menyerang lawannya dengan begitu pantas tanpa henti sejurus pertarungan bermula.



Tindakan tersebut memberi kesukaran kepada Pichai untuk membalas serangan Rifdean sehingga dia terjatuh dan sukar untuk kembali bangun bagi meneruskan persaingan.

Rifdean turut melahirkan penghargaan buat keluarga, jurulatih dan pasukannya yang banyak membantu serta memberi dorongan kepadanya.

“Dari lubuk hati yang dalam saya mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan jurulatih di atas sokongan mereka. Pencapaian (kejayaan) ini mustahil untuk diraih tanpa mereka,” katanya.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button