Kenaikan kos haji masih berpatutan

Oleh – Syeikh Baran


Kenaikan kos haji masih berpatutan
Syed Hamadah Syed Othman (tengah) memberikan kenyataan berhubung surat tawaran dan bayaran haji 1445H/2024M di Menara Tabung Haji (TH), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, kelmarin.

Kos melaksanakan ibadah haji yang meningkat sebanyak lapan peratus kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun lalu, tidak dapat dielakkan namun kadar tersebut masih disifatkan sebagai berpatutan.

Jika dibandingkan kos melaksanakan rukun Islam kelima itu dengan menggunakan perkhidmatan pengendali swasta, jumlah dikenakan Tabung Haji (TH) itu masih berada di tahap wajar memandangkan Arab Saudi tidak terkecuali merasai tempias kemelesetan ekonomi sehingga mengakibatkan lonjakan harga di hampir semua sektor.



Bukan itu saja, malah TH selaku pengurusan haji utama negara turut menyediakan Bantuan Kewangan Haji kepada golongan B40 iaitu sebanyak RM20,944 (termasuk RM1,000 daripada kerajaan) manakala M40 pula sebanyak RM14,148 seorang bagi jemaah yang menerima surat tawaran untuk menjalani ibadah tersebut tahun ini.

Untuk rekod, bayaran haji untuk jemaah B40 ditetapkan pada kadar RM12,356 seorang, M40 pula adalah RM19,152 manakala T20 akan dikenakan bayara penuh kos iaitu RM33,300.

Malah kos pengurusan haji yang ditanggung agensi itu sejak 2001 mencecah RM2.4 bilion dan TH juga menjangkakan akan membiayai kos sebanyak RM350 juta bagi musim haji tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, kenaikan kos haji sebanyak lapan peratus atau sekitar RM3,000 tersebut masih lagi berpatutan berbanding kos yang perlu dibayar jika menggunakan perkhidmatan swasta.



Menurutnya, kos haji menggunakan perkhidmatan swasta pada tahun ini melonjak daripada RM60,000 sehingga RM80,000 setiap seorang.

“Kos diumumkan TH itu sebenarnya masih murah dan berpatutan kerana realitinya harga tiket kapal terbang yang sebelum ini hanya RM3,500 sudah melonjak kepada RM8,000 seorang.

“Kos pengangkutan dari Rafah ke Mina juga meningkat sehingga 10 kali ganda iaitu daripada RM1,300 kepada mencecah RM12,000. Pada masa sama, kos satu katil di Mekah juga naik mendadak mencecah RM18,000 berbanding RM7,500 untuk semusim,” katanya.

Beliau berkata, jumlah yang perlu dibayar oleh golongan B40 dan M40 selepas mendapat Bantuan Kewangan Haji daripada TH sebenarnya tidak jauh berbeza dengan kos melaksanakan umrah menggunakan perkhidmatan syarikat swasta tempatan.



“Melihatkan kepada jumlah itu, PAPUH merasakan ia tidak akan membebankan bakal jemah haji kerana perlu diingat bahawa ibadah haji hanya perlu dilaksanakan kepada mereka yang berkemampuan sahaja.

“Jika merasakan jumlah itu terlalu besar, sebaiknya giliran mereka diberikan kepada orang yang berkemampuan dan gunakan wang haji tersebut untuk melaksanakan ibadah umrah,” katanya.

Terdahulu, TH mengeluarkan sebanyak 31,600 surat tawaran haji kepada bakal jemaah melalui aplikasi THiJARI bermula Jumaat lalu.

Kenaikan kos haji masih berpatutan
Kenaikan kos haji sebanyak 8 peratus seperti diumumkan kelmarin masih murah berbanding kos sebenar.

Bakal haji yang menerima surat tawaran tersebut perlu mencukupkan bayaran haji dan lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran tersebut.
Jawapan boleh diberikan dalam tempoh 11 hari bekerja melalui aplikasi THiJARI atau mengunjungi mana-mana cawangan TH yang berdekatan.



Mengikut pecahan, seramai 40 peratus jemaah haji dijangka daripada golongan B40, 58 peratus daripada golongan M40 manakala dua peratus lagi adalah jemaah daripada kalangan T20.

Kenaikan kos yang ditanggung TH dan jemaah haji tahun 2024 adalah meliputi seluruh rantaian perkhidmatan termasuk penginapan, penerbangan, sajian, visa, perkhidmatan semasa di tanah air dan juga di Tanah Suci.

Pada masa sama, ia turut membabitkan kos operasi masyair, pengangkutan, kos pengurusan, kebajikan serta kesihatan jemaah haji dan lain-lain.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Syed Hamadah Syed Othman berkata, TH terdedah kepada faktor di luar kawalan seperti peningkatan kadar inflasi, cukai nilai tambah dan caj perkhidmatan di Tanah Suci.



“Dalam usaha mengawal peningkatan kos haji, TH juga telah memeterai perjanjian kontrak jangka panjang membabitkan penerbangan, penginapan, sajian makanan dan beberapa perkhidmatan di Arab Saudi.

“Walaupun berlaku kenaikan kos haji, namun TH tetap mencari kaedah terbaik mengimbangi usaha memberikan perkhidmatan cemerlang demi kebajikan jemaah negara di samping mengekalkan kelestarian kedudukan kewangan,” katanya.

Sumber – UTUSAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading