Rafizi hanya jawab isu politik luar waktu kerja
Putrajaya: Mulai minggu depan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan politik di luar waktu kerjanya sebagai Menteri Ekonomi.
Rafizi berkata, kenyataan mengenai dasar kementerian, kedudukan ekonomi dan yang berkaitan akan dibuat melalui saluran rasmi sebagai menteri.
“Saya faham perang media sosial masih panas, mainan politik Perikatan Nasional (PN)/Pas terus berlaku. Tetapi tanggungjawab utama kerajaan adalah membaiki kehidupan rakyat.
Masa waktu yang dibayar gaji oleh rakyat, saya akan tumpu kerja sebagai menteri,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, keutamaannya sekarang adalah melaraskan dasar dan pelaksanaan projek supaya memberi impak paling besar kepada rakyat dalam persediaan menghadapi cabaran ekonomi 2023 yang dijangka lebih menguji kekuatan dan daya tahan ekonomi negara.
“Di luar waktu kerja, saya akan berdepan dengan PN/PAS. Saya akan menjawab isu yang mereka mainkan dan juga akan selaraskan supaya aktivis serta pimpinan Kerajaan Perpaduan turut sama memantau prestasi mereka sebagai pembangkang.
“Mereka ingat jadi pembangkang ini hanya menimbulkan sentimen kebencian. Mereka lupa bahawa menjadi pembangkang juga perlukan pengetahuan mengenai dasar, memantau pelaksanaan, membawa suara rakyat dengan masalah seharian mereka,” katanya.
Rafizi berkata, selepas seminggu memahami keadaan semasa kementerian, bermula minggu depan beliau akan mula mengeluarkan kenyataan politik sebagai Timbalan Presiden PKR (bukan sebagai Menteri) untuk menggariskan perancangan, usaha dan persediaan menghadapi enam Pilihan Raya Negeri yang akan datang.
“Menyiarkan kandungan-kandungan politik (selain dari kandungan mengenai dasar dan program sebagai menteri) supaya kita mematahkan sentimen kebencian yang dibawa sekarang.
“Kenyataan mengenai dasar kementerian, kedudukan ekonomi dan yang berkaitan akan dibuat melalui saluran rasmi sebagai menteri,” katanya.
Menurut beliau, mulai Januari depan, kempen untuk PRN di enam negeri juga akan mula gerakkan dengan menggunakan kaedah berkempen seperti sebelum membentuk kerajaan atas platform PKR dan @ayuhMYmovement tanpa pembabitan satu sen duit dan masa kerajaan.
“Jadi kepada kawan-kawan yang risau di luar, Insya Allah kami ada perancangan yang disusun untuk berdepan dengan lawan politik. Masa yang dibayar gaji oleh rakyat adalah tanggungjawab negara dan tidak boleh digunakan untuk kerja-kerja politik.
“Masa kami sendiri (seperti waktu malam, hujung minggu dan lain-lain) adalah masa untuk berkempen supaya tidak ada campur aduk di antara tanggungjawab sebagai menteri dan tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden parti,” katanya.
METRO