Menulis bantu Ummi Nazeera atasi masalah kemurungan
Kuala Lumpur: Pelakon Ummi Nazeera mendedahkan pernah mengalami masalah depresi (kemurungan) ketika melanjutkan pelajaran di Melbourne, Australia tidak lama dulu.
Ummi berkata, dia mengalami simptom tekanan kerana berjauhan dengan keluarganya sehingga sukar untuk tidur dan dinasihatkan oleh pakar perubatan untuk membuat segala luahan dalam bentuk penulisan.
“Saya memang jarang bercerita dengan kawan-kawan. Sebenarnya saya pernah menghadapi masalah kemurungan ketika saya belajar di Melbourne. Tiba-tiba berjauhan dengan keluarga, memang saya menghadapi tekanan hingga tak boleh tidur malam.
“Jadi, saya jumpa pakar terapi yang disediakan pihak universiti dan dia ajar saya untuk tulis setiap benda yang dirasakan. Alhamdulillah, proses itu memang buatkan kita rasa lebih tenang. Menulis sangat membantu, selain lakukan aktiviti bersenam,” katanya dalam program bual bicara TV3, Wanita Hari Ini (WHI), yang membahaskan topik Dalam Senyum Ada Derita, baru-baru ini.
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan tindakan Ummi untuk menangani masalah kemurungan yang dihadapi itu.
“Betul, cara menulis dapat redakan emosi. Itu yang kaunseling sarankan kepada saya apabila saya mengalami tekanan,” kata seorang netizen.
“Betul. Saya dulu pun pernah buat begitu, tulis apa yang terbuku di hati, sekarang Alhamdulillah,” komen seorang pengikut.
METRO