Ronaldo Nazário pilih Perancis julang Piala Dunia

Doha: Bekas bintang Brazil, Ronaldo Nazário berkata dia menyokong Perancis sebagai pasukan pilihan untuk memenangi Piala Dunia sekali gus mempertahankan kejuaraan mereka.

“Saya melihat bola sepak sebagai sesuatu yang romantik. Saya akan menghargai mana-mana pasukan juara.

“Sejak awal, ramalan saya sentiasa Brazil dan Perancis di final. Brazil sudah tiada.



“Tetapi Perancis pada setiap perlawanan mengukuhkan status mereka sebagai pilihan untuk muncul juara dan saya juga masih melihat mereka sebagai pilihan utama,” kata pemenang Piala Dunia dua kali itu kepada media.

Ronaldo yang menjaringkan kedua-dua gol dalam perlawanan final Piala Dunia 2002 menentang Jerman, menjangkakan Perancis akan mengalahkan Maghribi pada aksi separuh akhir awal pagi Khamis ini.

“Saya benar-benar mahu Maghribi menang tetapi saya tidak fikir mereka akan menang.

“Saya rasa Perancis mempunyai pasukan yang sangat mantap, sama ada di bahagian pertahanan, serangan atau bahagian tengah,” kata bekas pemenang Ballon d’Or dua kali itu.



Ronaldo juga kagum dengan Kylian Mbappe, penjaring terbanyak kejohanan di Qatar setakat ini dengan lima gol.

“Dia tahu bagaimana menggunakan kemahirannya, bagaimana untuk pergi lebih pantas daripada yang lain.

“Dia masih mempunyai masa yang panjang, kemahiran tinggi, sentiasa dahagakan kejayaan dan mempunyai bakat untuk memenuhi semua impiannya,” kata Ronaldo yang menjangkakan Mbappe akan memecahkan banyak lagi rekod.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button