En-Nesyri hanya sentuh bola tiga kali

AL KHOR, Qatar: Wira Maghribi, Youssef En-Nesyri menamatkan kempen cemerlang di Piala Dunia Qatar dengan rekod tidak menyenangkan apabila hanya menyentuh bola sebanyak tiga kali ketika tewas 2-0 kepada Perancis di separuh akhir.

Penyerang Maghribi itu mengharungi kejohanan yang menakjubkan sehingga aksi separuh akhir, dengan jaringannya ke atas Portugal pada suku akhir membantu Singa Atlas menjadi pasukan Afrika dan negara Arab pertama mara ke kelompok empat terakhir kejohanan.

Bagaimanapun En-Nesyri bergelut ketika berdepan juara bertahan di Stadium Al Bayt dan kini namanya tertera dalam sejarah Piala Dunia dengan rekod sentuhan bola paling sedikit dalam tempoh 45 minit atau lebih.



Pemain 25 tahun itu, yang menjadi penjaring terbanyak negaranya di kejohanan kali ini dengan tiga gol, hanya menyentuh bola tiga kali sebelum digantikan pada minit ke-66 oleh pengendali, Walid Regragui.

Impian Maghribi untuk mara ke final bertemu Argentina Ahad ini berkecai apabila Theo Hernandez mencipta rekod dengan menjaringkan gol paling pantas di aksi separuh akhir Piala Dunia sejak tahun 1958 pada empat minit 39 saat.

Maghribi yang lebih menguasai permainan cuba bangkit namun gol kedua Perancis menerusi pemain gantian, Randal Kolo Muani yang menemui sasaran hanya beberapa saat selepas dimasukkan, memusnahkan impian anak buah Regragui.

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button