Hernandez ikut jejak abang



AL KHOR, Qatar: Jaringan Theo Hernandez ke atas Maghribi membawa Perancis ke final Piala Dunia kedua berturut-turut.

Namun ceritanya pasti berbeza jika abangnya, Lucas, tidak cedera di awal kejohanan kali ini.

Lucas, 26, cedera ketika kemenangan 4-1 Perancis ke atas Australia pada aksi pembukaan, dan pertahanan Bayern Munich itu terpaksa berehat beberapa bulan.

Kecederaan itu hadir selepas Les Bleus kehilangan pemenang Ballon d’Or, Karim Benzema, dengan pengendali Perancis, Didier Deschamps sudah kehilangan pemain tengahnya, Paul Pogba dan Ngolo Kante.



Ia menyebabkan Deschamps terpaksa melupakan hasratnya untuk bermain formasi tiga pertahanan dan kembali kepada 4-3-3 di Piala Dunia Qatar.

Lucas membarisi kesebelasan utama pada setiap perlawanan di Piala Dunia 2018 yang menobatkan Perancis sebagai juara.

Membarisi kesebelasan terbaik Serie A untuk tiga musim berturut-turut, Theo membantu AC Milan menamatkan kemarau kejuaraan 11 tahun gelaran liga Itali musim lalu.

Dalam skuad Perancis, Theo bermain di belakang Kylian Mbappe dan membantu jentera serangan – melakukan dua umpanan gol di peringkat kumpulan, dan pada masa sama menjadi sasaran serangan pihak lawan.



Theo, 25, yang sebelum ini pernah terfikir untuk mewakili Sepanyol, melakukan penampilan sulungnya di peringkat antarabangsa pada September 2021, dan menjaringkan gol kemenangan pada penampilan keduanya.

Dia mendapat kepercayaan membarisi kesebelasan utama di Qatar selepas abangnya cedera.

Ketika bertemu England di suku akhir, dia menyebabkan lawan mendapat sepakan penalti kedua namun terselamat apabila sepakan Harry Kane melambung tinggi.

Jaringannya pada minit kelima bertemu Maghribi meletakkan Perancis di kedudukan selesa pada aksi separuh akhir di Stadium Al Bayt.



“Saya bersendirian. Saya lihat Kylian mahu melakukan rembatan, bola melantun keluar dan saya terus merembatnya,” kata Theo.

Pemain gantian Randal Kolo Muani melebarkan jaringan pada minit ke-79, sekali gus menutup peluang kebangkitan Maghribi.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker