Arif Aiman pertahan gelaran MVP

KUALA LUMPUR: Bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi mempertahankan gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) dimenanginya musim lalu.

Penyerang berusia 20 tahun itu diumumkan sebagai MVP buat kali kedua berturut-turut pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) yang diadakan secara virtual, sebentar tadi.

Selain MVP, Arif yang berjaya meledak lapan gol dan merekodkan 16 bantuan jaringan musim ini turut mempertahankan dua lagi gelaran iaitu anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.



Arif mengetepikan cabaran Faisal Halim dan Darren Lok bagi kategori Penyerang Terbaik dan bagi Pemain Muda Terbaik, dia mengatasi Azam Azmi Murad dan Mukhairi Ajmal Mahadi.

Arif menjadi antara tunjang utama kepada kejayaan luar biasa JDT yang melakar sejarah meraih ‘quadruple’ dengan menyapu bersih semua kejuaraan musim ini iaitu Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Katanya, dia memberikan penghargaan kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa memberikan sokongan serta kepercayaan kepada pemain muda seperti dirinya untuk mempamerkan kualiti yang dimiliki.

“Tidak dilupakan kepada ketua jurulatih (Hector Bidoglio) dan pegawai JDT yang sentiasa memberikan peluang kepada saya untuk beraksi dalam kesebelasan utama pada musim ini.



“Bagi keluarga saya, terima kasih kerana mendoakan kejayaan saya serta sentiasa memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada saya. Tidak dilupakan kepada penyokong JDT yang sentiasa datang ke stadium, berikan sokongan kepada kami.

“Alhamdulillah musim ini kami banyak menang kejohanan di peringkat domestik, Insya-Allah tahun depan, saya akan jadi lebih baik berbanding musim ini dan harap peminat setia JDT jangan berhenti menyokong kami,” katanya.

Prestasi cemerlang JDT sepanjang musim ini turut menyaksikan mereka mendominasi anugerah lain termasuk Shahrul Saad memenangi kategori Pertahanan Terbaik, manakala Afiq Fazail (Pemain Tengah Terbaik) dan Bergson Da Silva (Pemain Import Terbaik).



Melengkapkan lagi malam gemilang JDT di ABK22, skuad Harimau Selatan turut memenangi anugerah Pasukan Terbaik, sekali gus mempertahankan kemenangan sejak musim 2018.

Anugerah Penjaga Gol Terbaik menjadi milik pemain Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dan Nafuzi Zain pula dinobatkan pemenang kategori Jurulatih Terbaik.

Senarai Pemenang ABK22



Pemain Paling Bernilai (MVP) – Arif Aiman Hanapi (JDT)

Penyerang Terbaik – Arif Aiman Hanapi (JDT)

Pemain Tengah Terbaik – Afiq Fazail (JDT)

Pertahanan Terbaik – Shahrul Saad (JDT)



Penjaga Gol Terbaik – Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Negeri Sembilan)

Jurulatih Terbaik – Nafuzi Zain (Terengganu)

Pemain Muda Terbaik – Arif Aiman Hanapi (JDT)

Pemain Import Terbaik – Bergson Da Silva (JDT)



Pasukan Terbaik – JDT

Gol Terbaik Liga Malaysia – Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor)

Anugerah Fair Play – PJ City

Penjaring Terbanyak Liga Super – Bergson Da Silva (29 gol)

Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super – Darren Lok (10 gol)

Penjaring Terbanyak Liga Perdana – Abu Kamara (11 gol)

Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Perdana – Nurshamil Abd Ghani dan Daryl Sham (9 gol)

BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading