KDN terbuka, sedia bincang keperluan pelaksanaan Sosma
Lenggong: Kementerian Dalam Negeri (KDN) terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak bagi menyalurkan maklumat mengenai manfaat pelaksanaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya mengalu-alukan jika ada pihak yang mahu mendapatkan pencerahan sebenar berkaitan kebaikan untuk akta itu diteruskan bagi menghindari persepsi dan stigma negatif mengenainya, termasuk ia dikatakan lapuk serta berat sebelah.
“Semua undang-undang yang kita buat dalam negara ini adalah usaha menjaga kepentingan rakyat dan oleh itu, saya percaya dengan meneruskan pelaksanaan Sosma sebenarnya untuk kebaikan rakyat. Dengan itu, saya harap mana-mana pihak, khususnya badan bukan kerajaan (NGO) memahaminya.
“Mungkin mereka (yang mempertikai) tidak dapat maklumat yang tepat mengenainya jadi sebab itu saya harap mereka boleh datang dan kita terbuka. Ya, tidak perlu sekadar mengkritik kerana kita buka untuk mereka datang dan sedia berkongsi maklumat dengan semua,” katanya ketika ditemui selepas program Festival Lenggong Geopark ke-1 2022 di sini, hari ini.
Shamsul Anuar memberi reaksi itu bagi menjawab kenyataan Naib Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Zaidel Baharudin yang menyifatkan Sosma sebagai undang-undang sangat berat sebelah, malah kuasa menyeluruh melingkari akta itu membolehkan ia terdedah kepada penyalahgunaan.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan mengulangi pendiriannya berhubung keperluan pelaksanaan Sosma dengan menyatakan ia akan membolehkan pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah terancang, terutama membabitkan tangkapan ahli sindiket terbabit dalam jumlah yang ramai.
METRO