‘Kombo Fandi’ senjata Singapura

KUALA LUMPUR: Selepas dikecewakan di peringkat separuh akhir edisi lalu di tangan Indonesia, Singapura yang juga juara empat kali Piala AFF pastinya mahu menebus kehampaan pada edisi kali ini.

Diundi dalam Kumpulan B, persaingan dijangka menyaksikan ‘cinta segi tiga’ antara Vietnam, Malaysia dan Singapura yang merebut dua slot ke separuh akhir.

Singapura tidak boleh dipandang rendah memandangkan mereka mampu jadi ‘pembunuh senyap’ yang mungkin meranapkan impian Malaysia melangkah ke separuh akhir,



Mana tidaknya, Malaysia pernah ‘dibaham’ seteru seberang tambak itu pada aksi Tiga Siri Tiga Negara dengan keputusan 2-1 yang menjadi kekalahan sulung buat Kim Pan Gon.

‘Suspeknya’ ketika itu adalah Ikhsan Fandi yang meledak dua gol dan pemain itu dijangka sekali lagi menjadi ‘anak panah’ buat Singapura bagi kempen kali ini.

Namun bukan sahaja Ikhsan kerana ada dua lagi anak legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad yang turut membarisi senarai awal 30 pemain pilihan Takayuki Nishigaya.

Seorang lagi anak Fandi iaitu Ilham bakal bertindak sebagai ‘lapisan terakhir’ dengan portal bola sepak, Goal menyifatkan pemain itu sebagai ‘pemain yang beraksi untuk berdekad tetapi baru berusia 25 tahun’.



Tidak cukup dua, Nishigaya turut menyenaraikan seorang lagi anak Fandi apabila meletakkan Ilhan yang turut beraksi di bahagian penyerang seperti Ikhsan.

Ikhsan, Irfan dan Ilhan – ‘kombo Fandi’ yang bakal memainkan peranan penting dalam memacu perjalanan Singapura pada kempen kali ini.

Berdasarkan laporan Goal.com, Singapura memiliki gabungan pemain berpengalaman yang ‘diadun’ bersama pemain muda di barisan pertahanan.

Bagi jentera tengah, keseimbangan dapat disaksikan dengan bahagian itu diperkasa sepenuhnya dengan barisan pemain Lion City Sailors.



Selain Ikhsan dan Ilhan di jentera serangan, Nishigaya masih memiliki pemain seperti Faris Ramli dan Shawal Anuar yang boleh membantu menambah ketajaman Singapura.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button