‘Saya masih ‘shaking’…’
Kuala Kubu Bharu: “Saya masih ‘shaking’ (menggeletar) dan terkejut kerana kejadian itu sangat mengerikan,” kata mangsa kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan awam berhampiran Father’s Organic Farm di sini, hari ini.
Lelaki berusia 40-an yang enggan dikenali itu berkata, dia datang dari Klang ke tapak perkhemahan itu untuk bercuti bersama keluarga dan dua keluarga rakannya, semalam.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 2 pagi tadi dan ketika itu, dia kebetulan keluar ke tandas dan terkejut melihat runtuhan tanah itu berlaku di sebelah tapak perkhemahan.
“Sebelum itu, saya sudah mendengar bunyi pokok tumbang dan dentuman kuat. Selepas keluar dari tandas, saya lihat sudah berlaku runtuhan tanah.
“Saya terus ke khemah mengejutkan ibu dan anak serta keluarga rakan yang ketika itu sedang tidur. Saya kejutkan semua dan kami cari jalan keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Hulu Yam Bharu dekat sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya, dia sangat bersyukur apabila keluarga dan kumpulannya yang terdiri daripada sembilan individu dewasa, termasuknya dan tiga kanak-kanak selamat, tidak cedera.
“Cuma kami semua masih takut sahaja. Ini kali pertama kejadian seumpama itu berlaku di hadapan mata saya.. tak terbayang kejadian itu.
“Ini kali kedua saya datang ke sini dan keadaan cuaca malam tadi baik sahaja, cuma malam mula hujan renyai-renyai selepas itu berhenti,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Leong Jim Meng, 57, berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur bersama keluarganya dan terdengar bunyi dentuman kuat sebelum merasai pergerakan tanah.
Katanya, dia kemudiannya mengejutkan ahli keluarga lain yang sedang tidur dan mereka kemudiannya dibantu pihak berkuasa sebelum dibawa keluar dari lokasi.
Terdahulu, media melaporkan dianggarkan 100 pengunjung dikhuatiri menjadi mangsa kejadian tanah runtuh, awal pagi tadi.
Ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 39 meter dengan anggaran keluasan runtuhan seluas satu ekar (kira-kira 0.4 hektar).
Sementara itu, seramai lebih 30 mangsa keluarga ditempatkan sementara di balai polis berkenaan bermula 5.30 pagi.
Kesemua mangsa turut diberikan makanan dan minuman dan tempat berteduh.
METRO