Laluan alternatif Gua Musang-Cameron Highlands ditutup

GUA MUSANG: Hujan sejak semalam di daerah ini menyebabkan jambatan besi merentasi Sungai Ketil, menghubungkan Kampung Kerinting dan Bandar Gua Musang, ditutup kepada semua kenderaan bermula jam 9 pagi tadi.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Cawangan Gua Musang berkata, jalan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air 0.2 meter.

Jalan itu ialah laluan alternatif untuk ke Simpang Empat Kundur yang menghala ke Cameron Highlands dan Jeli.



Pengguna laluan terbabit, Mohd Aiman Asyraf, 26, berkata beliau terpaksa berpatah balik kerana jambatan besi sudah ditutup kepada semua kenderaan.

“Saya dari bandar Gua Musang setiap hari menggunakan laluan ini untuk ke tempat kerja di Taman Tropika.

“Walaupun sudah menjangka situasi ini, saya tetap berharap dapat menggunakan laluan ini kerana jarak lebih dekat,” katanya.

Penduduk berhampiran Sungai Ketil, Yapaisal Yahya, 39, berkata sejak semalam beliau berjaga-jaga, sekiranya air Sungai Ketil naik secara mendadak.



“Pengalaman berdepan dengan banjir besar 2014 membuatkan saya lebih berjaga-jaga setiap kali hujan berterusan.

“Saya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan info yang dikeluarkan pihak berwajib,” katanya.

Sementara itu, menurut laman web rasmi Public Info Banjir Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, tiga sungai di daerah ini dilaporkan masih berada pada paras normal, walaupun hujan berterusan.

Sungai Galas di Kampung Pulai dengan bacaan 105.79 meter, Sungai Galas di Kampung Lembaga merekodkan 83.01 meter dan Sungai Lebir di Kuala Koh 65.54 meter.



BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading