Sheikh Jassim, Ratcliffe hantar tawaran kedua beli United

MANCHESTER, United Kingdom: Pertarungan untuk membeli Manchester United semakin hangat hari ini apabila pemilik bank Qatar, Sheikh Jassim Bin Hamad Al Thani dan jutawan British, Jim Ratcliffe kembali dengan tawaran kedua bagi mendapatkan kelab gergasi England itu.

Pihak yang berminat ada sehingga jam 9 malam tadi untuk mengisytiharkan tawaran mereka kepada Raine, bank perdagangan yang membantu menguruskan penjualan kelab itu.

Pemilik United, keluarga Glazer dilaporkan mencipta rekod dunia apabila menilai kelab itu dengan harga £6 bilion (RM32.79 bilion).



Tawaran Sheikh Jassim untuk mengawal 100 peratus kelab berkenaan menjanjikan pelupusan hutang United sebanyak $620 juta (RM2.76 bilion) dan pelaburan untuk stadium baharu serta pusat latihan selain menyokong pasukan lelaki dan wanita.

Sumber yang rapat dengan tawaran Sheikh Jassim memberitahu AFP dia yakin tawarannya itu ialah “yang terbaik buat kelab, penyokong dan komuniti setempat.”

Pengasas syarikat bahan kimia INEOS, Ratcliffe pula lebih berhati-hati dengan penelitiannya dengan menegaskan dia tidak akan membayar harga “bodoh” dalam pertarungan tawaran untuk kelab bola sepak paling ikonik itu.



“Bagaimana anda menentukan harga sebuah lukisan? Bagaimana anda menentukan harga sebuah rumah? Ia bukan berkaitan berapa kos untuk membinanya atau berapa kos untuk melukis,” kata Ratcliffe kepada Wall Street Journal minggu ini.

“Apa yang anda tidak mahu lakukan ialah membayar harga yang bodoh untuk sesuatu kerana anda akan menyesal selepas itu.”

Ratcliffe, yang mahukan 69 peratus saham dimiliki keluarga Glazer, berkata minatnya terhadap United ialah “untuk menang sesuatu” dengan melabelkan kelab itu sebagai “aset komuniti.”

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button