Scammer tayang duit, jongkong emas di TikTok untuk jerat mangsa

Oleh – Syeikh Baran


Scammer tayang duit, jongkong emas di TikTok untuk jerat mangsa
Replika jongkong emas dan wang palsu digunakan sindiket untuk menjerat mangsa di TikTok.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lapan warga tempatan termasuk dua wanita yang terlibat dalam kegiatan pusat panggilan penipuan dalam talian menerusi serbuan di dua premis sekitar Petaling Jaya, Selangor, 25 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 21 hingga 43 tahun.



Katanya, pemeriksaan mendapati sindiket tersebut disyaki menjalankan aktiviti penipuan pelaburan secara dalam talian yang menyasarkan warga tempatan, manakala premis tersebut dijadikan sebagai pusat khidmat pelanggan.

“Selain itu, premis sama juga digunakan sebagai pusat pengiklanan dan promosi pelaburan menggunakan aplikasi TikTok.

“Suspek yang ditahan berperanan selaku pengarah syarikat, pengurus, moderator, tenaga pengajar, editor dan ‘host live’ di TikTok.

“Kita percaya mereka ini telah bergiat aktif sejak Ogos tahun lalu”, katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.



Jelas Ramli, pasukannya merampas tiga unit CPU,monitor (7), komputer riba (7), telefon bimbit (11), satu router, satu modem wifi, satu kamera, wang palsu USD dollar (denominasi USD 100), replika jongkong emas (10) dan satu anak kunci.

“Siasatan yang dijalankan mendapati, sindiket ini berperanan untuk mempromosi urus niaga pasaran saham yang didakwa beroperasi di Hong Kong.

“Pelabur yang berminat akan dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram dan diajar untuk melakukan urus niaga jual beli saham tersebut melalui laman web yang diberikan oleh pihak sindiket,” jelasnya.

Menurut beliau, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun keseksaan.



Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button