Pembedahan Hanan perlu RM20,000

Kuala Lumpur: Selepas menjalani pembedahan kali pertama pada Mac lalu, kanak-kanak Nur Hanan Awatif Muhammad Hadi Khong, 11, yang menderita penyakit lutut kaki membengkok ke luar (Genu Valgus) dan tulang paha pendek (Femomal Shortening) perlu melalui prosedur mengeluarkan besi pada kaki kanan.

Ibunya, Suhayati Soryat, 38, berkata pembedahan yang memerlukan kos RM20,000 itu dibuat selepas tumbesaran tulang kaki kanan semakin baik selain perlu memasukkan klip pada kaki kiri bagi melambatkan tumbesaran.

“10 bulan selepas pembedahan pertama pada Mac lalu, perkembangan tumbesaran okay. Prosedur kali pertama adalah memasukkan besi di bahagian paha bagi menegakkan kaki kanan yang senget ke luar. Jadi, pembedahan seterusnya adalah mengeluarkan besi itu pula.



“Dalam masa sama, doktor juga perlu memasukkan klip di bahagian lutut kiri iaitu kaki yang normal bagi memperlahankan tumbesaran. Apa yang berlaku pada pembedahan pertama adalah kaki dah panjang, tapi tidak nampak perbezaan sebab tumbesaran kaki kiri sangat cepat. Itu yang kena masukkan nak bagi tumbesaran seimbang,” katanya.

Menurutnya, selepas pembedahan pertama berjaya, anaknya itu masih tidak boleh terlalu banyak bergerak hingga terpaksa bercuti dari sekolah.

Menurutnya, Hanan juga perlu menjalani pemeriksaan berkala pada setiap bulan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, Johor dan Gleneagles Hospital Kuala Lumpur.

“Selepas pembedahan Hanan memang tak ke sekolah. Pergerakannya perlu sentiasa diawasi dan penjagaan lebih terutama pada bahagian pembedahan. Kalau ke sekolah bimbang terlanggar dengan kawan-kawan. Nanti, jadi rumit lagi.



“Memang sedih bila dia tak dapat ke sekolah hampir setahun. Dia tak dapat belajar dengan kawan-kawan. Tapi, cikgu ada cakap dia boleh belajar semula selepas ini,” katanya.

Katanya, Hanan gembira apabila dimaklumkan selepas menjalani pembedahan kedua nanti dia sudah boleh berjalan dengan normal.

“Doktor cakap, selepas keluarkan besi dan pembedahan kedua berjalan lancar, Hanan akan kembali normal. Cuma perlu tunggu tulang kuat dulu. Jadi, dia perlu membuat fisioterapi juga. Kemudian, kena berikan dia semangat untuk berjalan sendiri tanpa menggunakan tongkat atau berkerusi roda.

“Hanan pun ada cakap dia gembira dan tak sabar nak berjalan dengan normal. Paling penting dia rindu nak ke sekolah. Saya berdoa semoga pembedahan kedua ini berjalan lancar. Saya mengharapkan orang ramai akan dapat membantu dengan memberikan sumbangan. Terima kasih kepada pihak Media Prima, Gleneagles Hospital Kuala Lumpur dan seluruh rakyat Malaysia. Saya sangat hargai,” katanya.



Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang tunai atau cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP.

Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun bank (Bank Muamalat 1401-0008-8427-18) atau (Maybank – 5141-0532-3170) dan nyatakan nama pesakit pada bahagian rujukan penerima atau butiran pembayaran lain.

METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading