AC Mizal syukur SUKE TV diterima
Kuala Lumpur: Pelakon, pengacara dan usahawan, Datuk AC Mizal bersyukur apabila stesen TV miliknya iaitu SUKE TV semakin diterima baik peminat.
AC, 51, atau nama sebenarnya Mizal Zaini berkata, setiap hari pergi ke pejabat sendiri adalah satu detik indah buatnya.
“Lebih 33 tahun dalam industri seni, saya terasa sangat bebas serta gembira dan bertuah Allah bagi rezeki. Saya juga sangat terbuka menjaga kebajikan pekerja-pekerja saya.
“Memang kadang-kadang saya suka bergurau dengan mereka seperti menghalau mereka balik rumah tepat habis waktu bekerja. Mereka kadang-kadang terlalu suka duduk di pejabat sehingga tak nak balik rumah. Saya suruh mereka balik kerana esok pagi nak kena datang kerja lagi,” katanya ditemui pada acara tahunan ‘SME and Entrepreneurs Business Award 2022 (SEBA 2022) Central Grand Awards.
Menurut AC, kakitangannya gembira kerana atmosfera di pejabat SUKE TV memang lain dari yang lain.
“Saya ambil konsep berorientasikan keluarga dan mengamalkan tidak ada pantang larang dalam berkarya. Tidak kira tua atau muda, mereka boleh beri idea dan berkarya. Saya rasa ia membuka minda dan berjaya menerbitkan lebih perasaan sayangkan pejabat.
“Saya juga suka membantu rakan-rakan artis kita. Kalau boleh saya nak mereka rasa SUKE TV seperti kampung mereka,” katanya.
Pelakon yang meniti populariti menerusi drama popular Gerak Khas berkata, mana-mana artis yang meminta ‘job’ akan diberikan peluang sekiranya ada.
“Saya tak kisah sama ada dia kacak atau tidak serta cantik atau tidak. Ia bukan masalah. Asalkan kamu bekerja nak cari rezeki saya cuba bantu.
“Insya-Allah, tahun depan ada banyak lagi program menarik akan diperkenalkan dan peluang akan terus dibuka kepada penggiat seni.
“Saya memang fokus dengan SUKE TV dan berusaha keras untuk orang kenal. Syukur kami dah berjaya mendapat pengiktirafan rating dari AC Nielsen,” katanya.
Pada acara tahunan ‘SME and Entrepreneurs Business Award 2022 (SEBA 2022) Central Grand Awards yang diadakan ini, AC Mizal dikurniakan Anugerah Usahawan Selebriti.
METRO