Jauh sekali untuk saya nak menunjuk – Beto

 

Oleh Razak Hasan

Jauh sekali untuk saya nak menunjuk - Beto
Beto tak selesa aksi spontannya mencium dahi isteri, Tisha viral, bimbang menimbulkan salah faham.

Aktor Beto Kusyairy kurang selesa apabila aksi spontannya mencium dahi isteri menjadi perbualan dalam laman sosial.

Beto atau nama sebenarnya, Nur Kusyairy Zakuan Osman, 43, berkata dia tidak pernah menjangka aksi spontan mencium dahi isterinya sebelum menjayakan persembahan di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), baru-baru ini boleh menarik perhatian ramai.

Biarpun ia satu perbuatan yang menunjukkan kasih sayang terhadap isteri, Beto tidak mahu dilihat terlalu mempamerkan kemesraan yang membawa kepada salah faham.

“Sejujurnya, saya kurang selesa sebab saya malu sebenarnya. Takut ada yang melihat rutin ini sebagai niat untuk menunjuk atau sebagainya.

“Jauh sekali untuk saya nak menunjukkan rasa kasih sayang kepada semua orang, apatah lagi tontonan umum. Memang tiada niat apa-apa,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Beto membuat kemunculan istimewa menerusi persembahan Juara Lagu AJL 38 iaitu lagu Hasrat nyanyian Amir Jahari.

Sebelum naik ke pentas, Beto mencium mengucup dahi isteri, Tisha Shahar di belakang pentas lalu menjadi tular dan rata-rata kaum wanita mendambakan aktor itu sebagai suami idaman.

Pemergian arwah bapa mentua menjadikan sambutan Hari Lebaran Beto dan isterinya, Tisha berbeza daripada tahun sebelumnya. - Foto IG Beto Kusyairy
Pemergian arwah bapa mentua menjadikan sambutan Hari Lebaran Beto dan isterinya, Tisha berbeza daripada tahun sebelumnya. – Foto IG Beto Kusyairy

Beto berkata, ia sememangnya perbuatan normal buatnya dan isteri dengan tujuan memohon berkat daripada isteri tercinta.

“Apa yang boleh saya katakan, itu memang rutin saya sebelum nak naik pentas dan sebagainya. Saya mahukan keberkatan sebelum memulakan sesuatu majlis atau acara.

“Tak sangka pula momen spontan ini dirakam dan menjadi viral dalam media sosial. Saya dan isteri tak tahu bagaimana hendak memberikan reaksi,” katanya.

Sementara itu, berkongsi mengenai sambutan Syawal, bintang filem Imaginur ini berkata, pemergian arwah bapa mentua menjadikan sambutan Hari Lebaran berbeza daripada tahun sebelumnya.

“Bezanya kali ini tanpa arwah yang sudah setahun kembali kepada Sang Pencipta.

“Rasa seperti ada ruang yang kosong. Apa pun, semoga arwah berada di kalangan hamba-Nya yang beramal soleh,” katanya. – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker