‘Geng Subuh Macam Jumaat’ di Masjid Bukit Aman

 

Oleh Pena Merah

'Geng Subuh Macam Jumaat' di Masjid Bukit Aman
RAZARUDIN bersama Ayob Khan dan jemaah menunaikan solat Subuh ketika Program #Geng Subuh Macam Jumaat di Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim

Hampir 1,500 jemaah dari pelbagai lapisan masyarakat hadir sempena program #GengSubuhMacamJumaatPDRM di Masjid Bukit Aman, di sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil inisiatif untuk turut serta menganjurkan kempen itu kerana yakin ia mampu memberi impak kepada pembentukan ummah khususnya dalam kalangan pasukan dan masyarakat amnya.



“Pejuang-pejuang Subuh yang dirahmati Allah, saya kagum dengan semangat serta sokongan yang ditunjukkan oleh umat Islam sehingga kempen #GengSubuhMacamJumaat menjadi fenomena dalam kalangan rakyat.

“Memetik hadis Nabi Muhammad SAW, bangunlah pada pagi hari untuk mencari rezeki dan keperluan-keperluan hidupmu, sesungguhnya pada pagi hari, terdapat berkah dan keberuntungan,” katanya ketika memberi ucapan ringkas selepas selesai menunaikan solat Subuh berjemaah bersama warga PDRM dan masyarakat setempat, hari ini.

Antara yang hadir termasuk, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain; dan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad.

Menurutnya, beliau berasa bangga apabila program yang dicetuskan oleh selebriti, Alif Satar itu menjadi fenomena bukan sahaja di Malaysia malah diikuti oleh saudara seIslam di negara-negara jiran.



Razarudin berkata, program itu yang dilihat dapat menyatukan pimpinan tertinggi PDRM dengan orang ramai amat bertepatan dengan tema PDRM iaitu ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

“Insya-Allah, besar harapan saya agar aktiviti seumpama ini dapat diteruskan secara istiqamah pada masa akan datang.

“Akhir kata, syabas dan tahniah diucapkan kepada ahli jawatankuasa pentadbir Masjid Bukit Aman dan pasukan Geng Subuh Macam Jumaat dalam memastikan program hari ini berjalan dengan lancar,” katanya.

Program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran bilal jemputan iaitu vokalis kumpulan Khalifah, Mohamad Qidam Abdullah atau lebih dikenali sebagai Yabang.



Turut diadakan acara larian yang disertai selebriti Alif Satar dan penceramah undangan, Mohd Affendi Mohamed Nor atau lebih dikenali Pencetus Ummah (PU) Fendi.

Razarudin turut sempat beramah mesra bersama orang ramai yang hadir sebelum beliau berangkat meninggalkan program berkenaan untuk menghadiri satu lagi majlis lain.

-Harian Metro-




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading