Arsenal bangkit benam West Ham
LONDON: Ketenangan Arsenal ketika bangkit menewaskan West Ham 3-1 membuatkan pengendalinya, Mikel Arteta kagum.
Kemenangan itu melebarkan kelebihan Arsenal di puncak Liga Perdana Inggeris kepada tujuh mata.
Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli mengubah hala tuju permainan dalam tempoh lima minit di babak kedua sebelum Eddie Nketiah, yang mengisi kekosongan ditinggalkan Gabriel Jesus, mengesahkan kemenangan.
Penalti babak pertama Said Benrahma meletakkan The Hammers di depan, tetapi skuad kendalian David Moyes itu kekal hanya satu mata di atas zon penyingkiran – di tangga ke-16 liga.
“Kami menunjukkan ketenangan dan tidak pernah panik serta melakukan apa yang perlu untuk memenangi permainan.
“Kami menjaringkan gol tepat pada masanya dan penyokong juga menakjubkan, termasuk ketika kami dibolosi. Mereka terus memberikan kepercayaan.
“Apabila kami menjaringkan gol, sokongan semakin padu dan kami mendapat momentum yang diperlukan,” kata Arteta.
Manchester City boleh kembali merapatkan jurang dan memintas Newcastle yang melonjak ke tangga kedua sekiranya menewaskan Leeds esok.
AFP