Pelabur tunggu petunjuk, ringgit dibuka rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu berikutan permintaan yang lebih baik terhadap mata wang negara maju itu dalam keadaan hasil Perbendaharaan AS yang kukuh, kata penganalisis.

Bagaimanapun, penurunan ringgit dihadkan oleh harga minyak mentah yang lebih stabil, didorong oleh harapan pemulihan permintaan apabila China melonggarkan sekatan COVID-19.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.4280/4335 berbanding dolar AS daripada 4.4205/4255 ketika ditutup pada Selasa.

Menurut laporan, hasil bon Perbendaharaan AS meningkat kepada paras tertingginya bagi Disember pada Selasa apabila pelabur kembali daripada cuti hujung minggu dan menunggu petunjuk seterusnya mengenai prospek ekonomi 2023.



Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata hasil bon AS meningkat lebih tinggi ekoran kebimbangan inflasi kerana pemulihan penggunaan China boleh mencetuskan satu lagi pusingan tekanan harga ke atas harga komoditi utama yang menyumbang kepada inflasi global tahun ini.

“Ketidakpastian yang semakin meningkat mengenai pengembalian mobiliti di China juga masih ada, dengan persoalan berapa banyak lantunan yang akan dicatatkan sektor eksport Malaysia pada separuh pertama 2023,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding pound British kepada 5.3220/3286 daripada 5.3267/3327 ketika ditutup pada Selasa serta naik berbanding yen Jepun kepada 3.3111/3155 daripada 3.3182/3222.



Ringgit lebih kukuh berbanding euro kepada 4.7056/7115 daripada 4.7092/7145 semalam namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2880/2926 daripada 3.2847/2889.

-BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker