Brentford kejutkan Liverpool

LONDON: Jurgen Klopp berkata Liverpool gagal berdepan teori “huru hara” dicetuskan Brentford ketika kekalahan mengejut 3-1 awal pagi tadi yang merosakkan usaha mereka untuk kedudukan empat teratas Liga Perdana.

Skuad kendalian Klopp mengalami mimpi ngeri pada permulaan 2023 dan mereka hanya perlu menyalahkan diri sendiri kerana persembahan teruk di barat London.

Gol sendiri babak pertama Ibrahima Konate mencipta rentak untuk malam yang dicemari kesilapan di pertahanan Liverpool.



Yoane Wissa menggandakan kelebihan Brentford dan Alex Oxlade-Chamberlain kembali merapatkan jurang buat Liverpool namun Bryan Mbeumo melengkapkan kemenangan pertama Brentford berdepan Liverpool sejak 1938.

Dalam penampilan pertamanya sejak bermain pada final Piala Dunia buat Perancis ketika kalah menentang Argentina bulan lalu, Konate perlu dipersalahkan kerana persembahan buruk di bahagian pertahanan Liverpool.

BRENTFORD, ENGLAND – JANUARY 02: Alex Oxlade-Chamberlain of Liverpool scores the team’s first goal during the Premier League match between Brentford FC and Liverpool FC at Brentford Community Stadium on January 02, 2023 in Brentford, England. (Photo by Ryan Pierse/Getty Images)

Namun pertahanan tengah itu bukan satu-satunya pemain berhak dikritik kerana persembahan longlai Liverpool yang kini berada di tangga keenam, empat mata di belakang pasukan keempat, Manchester United yang akan menentang Bournemouth awal pagi esok.

Dikejutkan dengan kekalahan pertama Liverpool dalam lima aksi liga, bos Reds, Klopp merumuskan taktik bijak hasil sepakan bola mati Brentford terlalu sukar diatasi pemainnya.



“Brentford mencipta huru hara dengan sepakan bola mati. Apabila saya kata mereka beraksi dengan baik, mereka melakukannya, dengan cara bertahan,” kata Klopp.

“Jangan salah anggap, ia bijak, tetapi mereka melakukanya. Jika anda boleh tunjuk semua situasi, anda akan temui lima kekasaran tetapi kerana ia terlalu huru hara tiada siapa yang melihatnya pada penghujung.”

Walaupun pasukan tangga ketujuh, Brentford melalui enam perlawanan tanpa kalah dalam liga, termasuk kemenangan baik mengatasi juara bertahan, Manchester City sebelum Piala Dunia, masih mengejutan melihat Liverpool mudah ditewaskan.



“Anda sedar sebelum perlawanan betapa bagusnya mereka daripada sepakan penjuru. Perlawanan ditentukan oleh gol kedua yang juga kesilapan kami,” kata Klopp.

“Kami tidak sedar, mereka menghantar bola lintang dan menjaringkan gol kedua yang menentukan perlawanan, gol ketiga sepatutnya tidak dibenarkan tetapi kami perlu bermain lebih baik.”

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button