Pemandu bas ekspres ditahan kes cabul penumpang

Polis siasat dakwaan ADUN Selangor dera bekas isteri

MELAKA: Polis menahan pemandu kedua sebuah bas ekspres kerana disyaki mencabul seorang penumpang wanita dalam bas berkenaan di Ajil, Hulu Terengganu, hari ini.

Lelaki berusia 27 tahun dari Kota Tinggi, Johor itu ditahan sejurus bas yang dalam perjalanan dari Kelantan tiba di Terminal Melaka Sentral, di sini kira-kira 10.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah, berkata tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima laporan berhubung insiden membabitkan penumpang berusia 21 tahun itu yang dikatakan sedang tidur dalam bas terbabit ketika kejadian.

“Bas itu dalam perjalanan dari Kelantan ke Melaka dan mangsa, penuntut maktab perguruan di negeri ini mendakwa diraba oleh suspek ketika bas berhenti rehat di Ajil, kira-kira 4 pagi. Sejurus menerima maklumat awal, kita terus tahan pemandu itu sebaik bas tiba di Melaka Sentral,” katanya ketika dihubungi.



Beliau berkata, mangsa juga membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah jam 12 tengah hari tadi dan suspek ditahan sementara sebelum kes diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh turut berkongsi kejadian itu menerusi video berdurasi 3 minit 41 saat yang dimuat naik di laman Facebook miliknya.

“Pagi tadi ketika bangun untuk solat Subuh, saya ada terima pesanan mesej daripada sahabat di Facebook berhubung kejadian menimpa rakannya yang dalam perjalanan pulang ke Melaka. Adik ini (mangsa) terlalu baik.

“Hendak menjerit pun takut dan dia hanya mampu menangis teresak-esak. Kemudian saya bersama beberapa rakan tunggu di Melaka Sentral untuk bantu selamatkan gadis ini,” katanya memandang serius isu itu dan menasihati wanita untuk tidak berdiam diri apabila berdepan situasi sedemikian.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker