Bank Dunia unjur ekonomi Malaysia berkembang sederhana

KUALA LUMPUR: Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih sederhana tahun ini pada 4.0 peratus, selepas mencatatkan pemulihan kukuh pada 2022.

Dalam laporan Prospek Ekonomi Dunia Januari 2023, institusi kewangan antarabangsa itu berkata pertumbuhan tiga negara di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Filipina dan Vietnam dijangka sederhana tahun memandangkan eksport ke pasaran utama akan menjadi perlahan.

“Pertumbuhan diunjurkan 4.0 peratus di Malaysia, 5.4 peratus di Filipina dan 6.3 peratus di Vietnam,” kata Bank Dunia dalam laporan itu.



Di Indonesia, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur berkembang secara purata 4.9 peratus pada 2023 hingga 2024, lebih perlahan sedikit berbanding 2022, mencerminkan perbelanjaan swasta yang semakin perlahan namun kekal kukuh.

Tahap keyakinan perniagaan dijangka kekal mantap di tengah-tengah asas makroekonomi yang teguh dan momentum pelaksanaan pembaharuan berstruktur, termasuk dasar cukai serta pentadbiran.

Manakala, pertumbuhan di Thailand diunjur memecut kepada 3.6 peratus pada 2023, membayangkan pemulihan tertangguh sektor berintensifkan kontak seperti pelancongan dan pengangkutan.

Dalam pada itu, Bank Dunia berkata ekonomi bergantung kepada komoditi dan eksport seperti Kemboja, Malaysia, Mongolia serta Vietnam terutamanya adalah amat terdedah kepada permintaan eksport yang perlahan, khususnya dari China.



“Negara dengan keperluan pembiayaan luar, yang dicerminkan sama ada kebergantungan kepada modal jangka pendek seperti Kemboja dan Malaysia, atau paras hutang keseluruhan yang tinggi seperti Laos dan Mongolia, terutamanya adalah rapuh,” katanya.

Mengenai tinjauan serantau, Bank Dunia berkata selepas mencatatkan pemulihan mantap pada 2021, pertumbuhan di Asia Timur dan Pasifik adalah lebih perlahan pada 2022 kepada anggaran 3.2 peratus, 1.2 mata peratusan di bawah unjuran sebelum ini.

Ia berkata, pertumbuhan lebih perlahan itu hampir keseluruhannya adalah disebabkan China, yang merangkumi kira-kira 85 peratus KDNK serantau, hanya berkembang sebanyak 2.7 peratus.

“Negara itu berdepan penularan COVID-19 berulang dan sekatan pergerakan, musim kemarau yang tidak pernah dihadapi sebelum ini, selain tekanan dalam sektor hartanah, semuanya menekan penggunaan, pengeluaran makanan dan tenaga, serta pelaburan dalam rumah kediaman.



“Sokongan fiskal dan monetari bagi permintaan domestik, selain pelonggaran sekatan ke atas sektor hartanah hanya dapat mengimbangi sebahagian daripada ketidaktentuan itu,” katanya.

Tidak termasuk China, kadar pertumbuhan di rantau itu berkembang lebih sekali ganda, kepada 5.6 peratus pada 2022.

Laporan Bank Dunia itu berkata, aktiviti disokong oleh permintaan yang terpendam, apabila banyak negara terus menarik semula sekatan pergerakan berkaitan pandemik dan larangan perjalanan.

“Pertumbuhan di rantau itu tidak termasuk China pada 2022 adalah 0.8 mata peratus di atas unjuran dibuat pada Jun lalu, mencerminkan naik taraf unjuran bagi Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam, yang kebanyakannya meraih manfaat daripada lonjakan eksport barangan,” katanya.



Sementara itu, Bank Dunia berkata inflasi harga pengguna meningkat di seluruh rantau Asia Timur dan Pasifik pada 2022.

Bagaimanapun, ia berkata tekanan harga di rantau itu secara umumnya adalah lebih rendah berbanding rantau lain.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button