Doa buat Hulaif

Puchong: Nyawa Megat Hulaif Mikhael Megat Shahzulfadli pernah berada di hujung tanduk iaitu antara hidup dan mati ketika masih bayi.

Bagaimanapun, takdir Allah menentukan anak syurga itu masih bertahan hingga kini walaupun sudah lapan tahun terlantar akibat menghidap Cerebral Palsy (CP).

Berikutan keadaan itu, Megat Hulaif Mikhael juga menghidap masalah paru-paru kronik dan tidak dapat berdikari malah semuanya diuruskan ibu, Eda Othman, 33 dan bapanya, Megat Shahzulfadli Megat Ahmad Kushairi, 33.



Bercerita lanjut, Eda berkata, Megat Hulaif Mikhael disahkan menghidap CP selepas diserang strok dalam tidur sewaktu baru berumur 27 hari.

“Saya masih ingat lagi, Hulaif jadi begitu dengan tiba-tiba ketika 10 terakhir Ramadan iaitu dalam tempoh berpantang.

“Ketika itu, suami sudah ke sekolah untuk mengajar dan saya sedar ada yang tidak kena selepas nampak tubuh Hulaif seperti terkulai.



“Melihat keadaannya, saya cuba angkat tangan, kaki dan tengkuknya tetapi masih sama malah tubuhnya tidak beri respon walaupun selepas direnjis dengan air,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya dekat Taman Tasik Prima, di sini.

Bagi mendapat kepastian, Eda ke klinik berhampiran rumah sebelum dirujuk di hospital.

“Pada awalnya doktor tidak dapat sahkan apa puncanya, mulanya kata tersedak susu dan sebab kahak sehingga pakar radiologi lakukan imbasan serta dapati ada banyak cecair di kepala.

“Hulaif kemudian dirujuk ke hospital kerajaan dan pada awalnya tidak stabil untuk lakukan pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) tetapi selepas dibuat, doktor dapati dalam tempurung kepalanya dipenuhi dengan darah.



“Dua hari kemudian, doktor jumpa saya dan beritahu tiada guna ‘simpan’ (Hulaif) kerana hanya akan membebankan namun saya dengan tiba-tiba dapat panggilan daripada seorang wanita Cina tidak dikenali supaya beri Hulaif peluang.

“Ikutkan saya memang buntu ketika itu tapi panggilan daripada wanita berkenaan beri kekuatan untuk saya beritahu doktor yang saya mahu Hulaif terus berjuang.

“Ditakdirkan, Hulaif tunjuk respon positif apabila bergerak hingga tidak perlu bergantung dengan mesin pernafasan sebelum dibenarkan pulang,” katanya.



Eda berkata, cabarannya dan suami bermula selepas bawa pulang Megat Hulaif Mikhael ke rumah.

“Selepas pulang dari hospital, saya kerap diajukan soalan adakah Hulaif akan sembuh dan kenapa dia tidak normal seperti kanak-kanak seusia dengannya daripada orang yang terdekat.

“Saya tiada jawapan untuk itu, jadi mengelak berjumpa dengan sesiapa hampir setahun.

“Dalam pada masa yang sama, saya giat berkongsi mengenai kesedaran penyakit CP dengan pengikut saya di laman sosial,” katanya.



Baik Eda mahupun suami, kedua-duanya kini berusaha keras bagi memberi yang terbaik buat Megat Hulaif MIkhael.

“Saya dan suami memerlukan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan untuk membayar juru terapi, alat perubatan dan lain-lain keperluan.

“Awalnya dulu terfikir juga mengapa diuji sampai begitu sekali, lama kelamaan dapat terima ujian itu dan anggap ia bahagian saya.

“Buat apa nak malu dan saya bawa saja Hulaif keluar kerana dia juga layak nikmati hidup di dunia ini ,” katanya yang menjual jus delima asli bagi menampung kos perbelanjaan anaknya.



Sementara itu, suaminya, Megat Shahzulfadli turut menerima ujian Ilahi dengan lapang dada.

“Mula-mula terduduk juga untuk terima ujian itu kerana tiada pengalaman membesarkan anak begitu.

“Bagaimanapun, saya dan isteri dapat laluinya dengan bantuan kumpulan sokongan anak-anak istimewa dan CP.

“Selain menjaga kebajikan Hulaif, saya turut hasilkan lagu bertajuk Pada Wajahmu manakala lirik ditulis isteri yang didedikasikan bukan hanya kepada Hulaif tetapi semua kanak-kanak istimewa.

“Itu cara kami luahkan perasaan dan kasih sayang buat Hulaif kerana tiada harta untuk diwariskan,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button