Kos makanan ayam kekal tinggi
KUALA LUMPUR: Kos makanan ayam masih kekal tinggi pada akhir 2022, meskipun harga jagung yang menjadi salah satu bahan mentah utama menunjukkan penurunan mendadak daripada paras kemuncaknya April tahun lalu.
MIDF Research dalam satu nota penyelidikan menjelaskan, harga kacang soya yang menjadi satu lagi bahan utama makanan ayam sebaliknya terus meningkat.
“Harga purata jagung meningkat 9.8 peratus kepada AS$25,653 satu tan berbanding setahun lalu, manakala harga purata kacang soya melonjak setinggi 26.9 peratus kepada AS$497 satu tan pada Disember 2022.
“Dari asas bulanan pula, harga jagung dan kacang soya kedua-duanya bergerak ke arah bertentangan. Harga jagung khususnya susut 2.9 peratus pada Disember 2022 berbanding bulan sebelumnya, sebaliknya harga purata kacang soya meningkat 11.6 peratus dalam tempoh sama.
“Secara keseluruhan, kami menjangkakan harga makanan bagi syarikat ternakan akan kekal stabil dalam jangka terdekat ini,” katanya.
Menurut Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), dasar kawalan harga dan subsidi ayam akan dikekalkan segingga dasar mekanisme bersasar dilaksanakan.
Harga runcit ayam pada masa ini adalah RM9.40, manakala harga runcit bagi telur ayam dalam lingkungan 41 sen hingga 45 sen sebiji, bergantung kepada gred.
“Justeru, dengan kos makanan ayam dijangka kekal tinggi dalam jangka terdekat ini, subsidi kerajaan yang diteruskan sebanyak lapan sen bagi ayam dan lapan sen bagi sebiji telur boleh memberikan sedikit sokongan margin kepada syarikat ternakan seperti Leong Hup International dan QL Resources,” kata MIDF Research.
Firma penyelidikan itu memberikan saranan ‘beli’ terhadap saham kedua-dua syarikat itu dengan harga sasaran Leong Hup pada 80 sen sesaham dan QL Reseources pada RM6.30 sesaham.
Sementara itu, MIDF Research berkata, pengukuhan ringgit akan memanfaatkan syarikat makanan dan minuman (F&B) dan ternakan kerana kebanyakan komoditi dibeli menggunakan dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus pengukuhan mata wang tempatan akan mengurangkan kos input.
“Sebaliknya, ringgit yang kukuh pula adalah negatif kepada syarikat pengguna berorientasikan eksport yang menjual produk mereka dalam dolar AS, seperti Asia File dan Rhong Khen International.
“Jualan lebih rendah akan dicatatkan kedua-dua syarikat ini apabila ringgit mengukuh,” katanya.
MIDF Research yakin terhadap sektor pengguna pada tahun ini, didorong oleh faktor kestabilan pasaran pekerjaan yang menyokong penggunaan domestik.
Selain itu, katanya ia turut didorong oleh perbelanjaan domestik yang positif daripada pelbagai bantuan tunai dan insentif kepada kumpulan berpendapatan rendah, di samping kawalan harga ke atas produk tertentu serta subsidi bahan api dan elektrik.
“Ketibaan pelancong lebih tinggi akan menyokong jualan runcit, manakala margin lebih baik bakal dinikmati pengeluar F&B berikytan harga komoditi global lebih rendah dan ringgit lebih kukuh,” katanya.
“Justeru, kami mengekalkan pendirian positif terhadap sektor pengguna,” katanya.
BHOnline