Konflik rumah tangga di media sosial bawa bahana

'Buka cerita dalam kain'

KUALA LUMPUR: Berkongsi konflik rumah tangga dengan orang luar dan di media sosial bukan cara ideal untuk menyelesaikan masalah rumah tangga.

Bagaimanapun, ramai wanita melakukan begitu sekali gus dianggap ‘jalan pintas’ sama ada untuk mendapat perhatian pasangan, secara tidak langsung mengharapkan keprihatinan, sokongan dan komen netizen.

Cerita dalam kain seperti konflik membabitkan orang ketiga seperti kes suami mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain, berpoligami secara sembunyi dan pendedahan mengenai ‘si penyondol’ antara kandungan yang kerap dikongsi secara terbuka.



Mengulas perkara itu, peguam, Mahmud Jumaat, berkata mustahak bagi pasangan tidak menyebarkan hal ‘dalaman’ perkahwinan kepada orang lain.

Sebaliknya, golongan isteri disaran mengambil langkah bijak dengan mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa agama atau tindakan undang-undang untuk menuntut hak mereka.

“Saya percaya isu rumah tangga membabitkan gangguan daripada penyondol atau poligami seperti yang kecoh baru-baru ini boleh dibawa berbincang.

“Ia bergantung kepada wanita itu sendiri sekiranya boleh bertolak ansur dengan situasi sedia ada atau pun tidak. Namun, apa yang penting, jangan kongsi dengan orang luar kerana ia dikhuatiri memburukkan lagi keadaan,” katanya kepada wartawan.



Katanya, tindakan saling bertikam lidah dan memaki hamun suami atau wanita disyaki menjadi ‘orang ketiga’ tidak memberi sebarang manfaat.

“Kalau ada masalah rumah tangga disebabkan ada penyondol, boleh buat aduan di Unit Penguatkuasaan dan Pendakwaan, Jabatan Agama Islam Negeri yang berdekatan untuk ajar (ambil tindakan) orang ketiga ini,” katanya.

Tambahnya, ramai yang melihat istilah orang ketiga dalam kerangka yang sempit, terhad kepada hubungan pasangan dengan wanita atau lelaki lain.

“Perlu difahami, Seksyen 34 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tidak terhad kepada penyondol tetapi siapa sahaja tidak kira kawan, atau ahli keluarga yang menghasut suami atau isteri untuk bercerai atau mengabaikan kewajipan.



“Ini semua termasuk dalam istilah orang ketiga dan boleh diambil tindakan,” katanya.

Konflik rumah tangga boleh di atasi

Mahmud berkata, ada peruntukan undang-undang bagi pelbagai isu atau konflik dalaman rumah tangga.



Misalnya, jika wujud orang ketiga mengganggu keharmonian hubungan rumah tangga, tindakan sivil dan jenayah syariah di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 boleh diambil atas kesalahan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan syariah.

Katanya, bagi kes berpoligami tanpa kebenaran pula suami boleh dikenakan penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Pasangan memilih berkahwin di luar negara termasuk kes bernikah di Thailand, mereka boleh didenda dan berdepan kesukaran selagi tidak mengesahkan status perkahwinan di negara ini.

Mengulas sejauh mana keberkesanan undang-undang sedia ada melindungi isteri teraniaya, beliau berpandangan ia sudah cukup mantap.



“Yang penting kesedaran orang awam mengenai undang-undang itu supaya isteri teraniaya melaporkan kesalahan dalam rumah tangga mereka.

“Ini penting supaya undang-undang itu dapat menimbulkan rasa takut kepada orang awam. Tanpa melaporkan, undang-undang berkenaan tidak mencapai keberkesanan sepenuhnya,” katanya.

Menyentuh polemik rumah tangga selebriti Syamsul Yusof dengan isterinya, Puteri Sarah Liyana selepas berkahwin dengan Ira Kazar di sempadan Thailand, baru-baru ini, beliau berpandangan tindakan Puteri Sarah wajar dalam usaha mempertahankan haknya.

“Perkahwinan Ira Kazar dan Syamsul tidak akan memberi sebarang kesan kepada tindakan sivil mahupun dua aduan di Pejabat Agama (yang dibuat Puteri Sarah) kerana ia adalah dua kausa tindakan yang berbeza.



“Saya juga percaya sekiranya Syamsul benar-benar serius ingin menjadikan Ira Kazar sebagai isteri, saya tidak rasa Puteri Sarah akan bersusah payah membayar peguam dan naik turun pejabat agama sebaliknya menyoal diri atas kesanggupan dan persediaan beliau untuk dimadukan.

“Namun, (buat masa ini) mungkin biarkan pihak jabatan agama membuat siasatan dan keputusan bagi aduan yang dibuat,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button