Kampus dalam muzium pertama di Malaysia

Bangunan Suluh Budiman UPSI yang dibina pada 1919 kini telah dinaiktaraf sebagai Muzium Pendidikan Nasional (MPN).

Oleh Rohana Man

TANJUNG MALIM – Muzium Pendidikan Nasional (MPN), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menawarkan pengalaman pengajaran dan pembelajaran secara fizikal mahupun maya kepada pengunjung.



Muzium yang ditempatkan di dalam Bangunan Suluh Budiman itu menyediakan laluan Warisan Sejarah UPSI yang boleh diibaratkan sebagai kampus dalam muzium.

Terletak di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, MPN bertuah kerana ditempatkan di bangunan yang mempunyai nilai sejarah yang boleh diketengahkan kepada umum.

Apa yang menariknya tentang muzium itu adalah ia muncul satu-satunya laluan warisan seumpamanya di negara ini.

Memetik laporan berita tempatan, Pengarahnya, Prof. Dr. Tajul Shuhaizam Said berkata, laluan tersebut merupakan inisiatif universiti untuk meuar-uarkan 23 lokasi yang sarat dengan maklumat berhubung pendudukan penjajah dan peranan universiti itu sebagai tempat melahirkan golongan pendidik.



Beliau yang juga Pengarah Institut Peradaban Melayu UPSI berkata, menjengah 100 tahun sambutan penubuhan UPSI, universiti itu sudah melalui empat era yang menjadikannya utuh sehingga kini.

“Tahun ini, UPSI menyambut 100 tahun penubuhannya. Sejarah awal penubuhannya bermula pada zaman yang ketika itu dikenali sebagai Sultan Idris Training College (SITC),” katanya.

Waktu lawatan dibuka setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 5.30 petang. Masuk adalah percuma kecuali bagi mereka yang memerlukan khidmat pemandu pelancong.

Kumpulan yang memerlukan pemandu pelancong atau khidmat petugas untuk memberi penerangan lebih lanjut mengenai 23 laluan sejarah itu, sedikit bayaran akan dikenakan. Ini kerana pakej itu juga meliputi penyediaan makan dan minum.



Dua puluh tiga laluan warisan itu ialah Padang SITC, Pokok Tembusu, Rumah Za’ba, Surau An Nur, Bangunan Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim, Bangunan Tadah Utara, Bangunan Suluh Budiman, Bekas Tapak Hukuman Pancung Tentera Jepun, Dewan Makan SITC, Bangunan Kutub Khanah dan Loceng Agung.

Selain itu, Bangunan Tadah Selatan, Dewan Senaman SITC, Dewan Rahman Talib, Arca Batu, Rumah Pengetua SITC, Rumah Pengetua Sekolah Datuk Abdul Razak dan Rumah Pengetua MPSI.

Turut menjadi laluan warisan ialah Taman Astakona, Tiang Kesan Tembakan Komunis, Rumah Guru SITC, Tugu Perayaan Jubli Intan & Kompleks Baru MPSI serta Tugu Perayaan 70 Tahun SITC-MPSI-IPSI.

Mengulas lanjut, katanya, Kampus Sultan Abdul Jalil sarat dengan warisan berkaitan pendidikan dan nasionalisme, sekali gus menjadi tanggungjawab UPSI untuk menjaga tinggalan sejarah tersebut.



“Menariknya, salah sebuah bangunan di UPSI pernah menjadi kediaman Pendeta Za’ba,”tambahnya.

Selain itu, terdapat juga kesan peninggalan tentera Jepun kerana mereka pernah menjadikan bangunan di universiti ini sebagai markas utama, selain ada bekas tapak bagi hukuman pancung oleh tentera Jepun.

Mengenai konsep laluan itu, Dr. Tajul berkata, di setiap lokasi bersejarah itu, diletakkan papan tanda maklumat tentang kisah sejarah dan peristiwa yang pernah berlaku di situ.

“Pelawat juga boleh mengimbas kod QR (quick response) yang disediakan di papan maklumat, untuk memudahkan mereka muat turun maklumat di telefon pintar masing-masing,” katanya.



Beliau berkata, sambutan pengunjung setakat hari ini begitu menggalakkan kerana selain menikmati laluan sejarah, pengunjung turut berpeluang melawat pasar antik pada setiap Sabtu minggu keempat.

“Di pasar antik itu, kita himpunkan kira-kira 60 peniaga dari seluruh negara untuk berniaga,” katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee berkata, pihaknya dan beberapa badan bukan kerajaan lain turut menyumbang buah fikiran dan pendapat berhubung pembukaan laluan tersebut.

“Pada tahun lalu, kami dijemput oleh pihak MPN UPSI untuk memberi ulasan mengenai laluan warisan itu.



“Pihak kami ada bagi maklum balas dan menyokong usaha ini, selain beri cadangan penambahbaikan lain,” ujarnya.

 


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading