Onana, Zubimendi dalam radar Arsenal
LONDON: Mikel Arteta mengesahkan yang Arsenal masih mencari seorang lagi pemain tengah sebelum jendela perpindahan ditutup.
Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu sudah berbelanja 48 juta pound (RM253.16 juta) bagi mendapatkan Leandro Trossard dan Jakub Kiwior.
Kini Arteta mahu mencari seorang lagi pemain tengah sebelum tarikh tutup Selasa ini dengan Mohamed Elneny mungkin akan bermain buat kali terakhir untuk kelab.
Dengan hanya lima hari berbaki bagi menyempurnakan perpindahan, pemain Everton, Amadou Onana dan Martin Zubimendi dari Real Sociedad berada dalam radar Arsenal.
Kecederaan lutut Elneny memaksa Arteta mencari penggantinya secepat mungkin. Kontrak pemain 30 tahun dari Mesir itu berakhir tahun ini, tetapi kelab mempunyai pilihan untuk melanjutkannya setahun lagi.
Elneny mungkin akan direhatkan sehingga tamat musim akibat kecederaan yang dialami ketika latihan dua minggu lalu.
“Mo mempunyai masalah di lututnya dan kami sedang menilainya. Kita lihat perkembangannya dalam beberapa hari lagi.
“Timbul kebimbangan berkenaan kecederaannya kerana dia pemain yang tidak pernah merungut tentang apa-apa. Kami perlu pemain tengah tetapi pasaran amat sukar sekarang.
“Namun jika ada pemain yang boleh menjadikan kami lebih baik, kami akan membuat pertimbangan,” kata Arteta.
AGENSI