Suspek dan Zarina ada pertalian ahli keluarga

Marang: Suspek yang ditahan berhubung penemuan mayat wanita dikenali Zarina Mukhtar di semak di Kampung Alor Gali, di sini, Khamis lalu, adalah ahli keluarga terdekat.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, pihaknya mendapati suspek berusia 59 tahun adalah individu terakhir bersama mangsa berdasarkan maklumat awam.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa menaiki bas dari Kuala Lumpur sebelum suspek mengambilnya di Kampung Rhu Rengeh, di sini, pada jam 10 pagi, 16 Januari lalu.



“Kita percaya suspek orang terakhir bersama mangsa dan ketika itu ada orang awam melihat mangsa dibawa suspek menaiki sebuah kereta berwarna gelap.

“Malah, kita juga percaya ada kemungkinan mangsa mati di tempat lain dan mayat dibuang dalam semak di Kampung Alor Gali, di sini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Zain berkata, pihaknya percaya mangsa sudah meninggal dunia tidak kurang 36 jam berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau.



Menurutnya, pihaknya juga percaya mangsa ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja tetapi ditipu sebelum balik semula ke Terengganu.

“Mangsa adalah orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dan juga ibu tunggal kepada seorang anak.

“Kita sudah menyerahkan mayat kepada keluarga dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam Kepong, Kuala Terengganu,” katanya.

Khamis lalu, Harian Metro melaporkan penemuan mayat wanita di dalam kawasan semak di Kampung Alor Gali, di sini.



Terdahulu, pagi tadi pesara berusia 59 tahun ditahan reman bagi membantu kes penemuan mayat Zarina, 57.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Marang, Zur Azureen Zainalkefli selama tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek ditahan kira-kira jam 2.30 petang semalam di Jeli, Kelantan.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button