SPRM tahan 6 individu termasuk 5 penjawat awam

SEMPORNA: Enam individu termasuk lima penjawat awam yang bertugas di sebuah jabatan di sini, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malam tadi.

Menurut sumber, suspek termasuk seorang lelaki yang disyaki sebagai orang tengah ditahan kerana dipercayai meminta wang rasuah kira-kira RM20,000 daripada seorang individu supaya tidak mengambil tindakan ke atas anaknya yang disyaki melakukan kesalahan menyimpan minyak masak subsidi.

Difahamkan, minyak masak subsidi berjumlah kira-kira 100 kotak itu disyaki untuk diseludup ke luar negara.



Sumber memberitahu, kesemua mereka berusia antara 29 hingga 50 tahun itu ditahan oleh pegawai SPRM selepas menerima sebahagian dari wang rasuah iaitu sebanyak kira-kira RM5,000 daripada orang awam berkenaan pada kira-kira jam 10 malam, tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Tawau untuk proses permohonan reman pada hari ini bagi tujuan siasatan lanjut.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button