Amanah Perak tidak ada masalah jika DAP mahu bertanding di Parit

IPOH – Parti Amanah Negara (Amanah) Perak tidak ada masalah sekiranya DAP berkeinginan untuk meletakkan calon mereka bagi merebut kerusi Parlimen Parit pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berkata ini kerana pada ketika ini semua pihak dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) boleh menyatakan hasrat mereka untuk bertanding di mana-mana kawasan kerana ia belum diputuskan di peringkat tertinggi gabungan parti itu.

“Kesemua pihak boleh menyatakan hasrat, tetapi (kerana) keputusan itu (pembahagian kerusi) masih di peringkat perbincangan.

“Kita pun belum putuskan lagi siapa yang nak bertanding di mana setakat ini. Namun, pada saya tidak salah (sesiapa) hendak nyatakan hasrat itu,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pemberita pada Program Jelajah Tolak BN PN di Jalan Pemimpin Kampung Manjoi, dekat sini, malam tadi.

Minggu lalu media melaporkan DAP Perak melancarkan penubuhan cawangannya di Parlimen Parit dengan mencatat rekod sebagai cawangan DAP paling ramai ahli Melayu di Perak.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dilaporkan berkata partinya akan cuba mengajukan proses perundingan supaya DAP diberikan peluang untuk bertanding di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ iaitu Bota atau Belanja.

Sementara itu, ketika ditanya pendirian DAP untuk mengetengahkan lebih ramai calon Melayu pada PRU15, Asmuni berkata beliau mengalu-alukannya.



Katanya, sebagai rakan dalam parti komponen PH, Amanah Perak melihat perkara itu sebagai satu perkembangan yang positif terutama bagi sebuah parti yang berbilang bangsa itu.

“Saya mengalu-alukan itu, jika calon Melayu itu yang diletakkan nanti di kawasan yang boleh menang. Bukan setakat meletakkan calon sahaja tapi tidak memberi apa-apa sumbangan kerusi kepada kita.

“Sekali lagi, jika calon yang diletakan itu boleh menang, saya lihat ia adalah satu perkembangan yang positif bagi rakan kita ini,” jelasnya lagi.

Pada Ahad lalu, media melaporkan DAP akan mengetengahkan lebih ramai calon Melayu pada PRU15 terutama bagi mengisi kekosongan kerusi yang sebelum ini ditandingi oleh calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).



Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan menjangkakan akan ada pertambahan kerusi bagi calon DAP pada PRU15 berikutan pembahagian semula kerusi Bersatu pada PRU14.

© Astro Awani 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button