Shuib nafi kahwini Watie, Mac ini
KUALA LUMPUR: Pelawak dan penyampai radio Suria FM, Shuib Sepahtu menafikan khabar angin bakal mendirikan rumah tangga, Mac ini.
Gosip tersebar gara-gara keterbukaan bapa empat cahaya mata ini yang tidak lagi berselindung mengenai hubungan bersama usahawan, Watie Hanifiah termasuk dilihat tampil berpakaian hampir sedondon ketika menyaksikan 25 Years Lah Ahmad Live In Concert, Ahad lalu.
Video kehadiran Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhamad, 38, pada konsert itu bersama Watie, tular sejak malam tadi.
“Saya mengaku menghadiri konsert Lah Ahmad kerana mendapat jemputan peribadi daripada Lah.
“Saya memang teringin menyaksikan konsert Lah tetapi tidak tahu hendak pergi dengan siapa, jadi saya ajak Watie temani.
“Saya susah dapat mengagak orang nampak dan akan ambil video. Tetapi semua pun macam sudah dapat ‘tangkap’ saya sedang mengenal hati budi dan berkawan dengannya serta keluar bersama,” katanya.
Soal mahu menamatkan zaman duda, tambah Shuib, masih jauh lagi.
“Dakwaan bakal berkahwin bulan Mac adalah tidak benar, perjalanan masih jauh lagi.
“Tapi kalau sudah semakin hampir, saya sendiri akan beritahu,” katanya kepada BH Online.
Sebelum ini, timbul spekulasi pelawak itu bakal berkahwin, akhir tahun lalu, namun, dinafikan Shuib.
Semuanya gara-gara dakwaan pemilik katering yang kononnya Shuib sudah menempah khidmatnya untuk majlis resepsi.
Disember lalu, Shuib dilaporkan mengaku berkawan dengan wanita itu.
Malah, Shuib memohon keputusan menjalinkan hubungan rapat dengan wanita itu tidak dipertikaikan kerana dia lebih mengenai siapa Watie.
Shuib kehilangan isterinya, penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia akibat COVID-19 pada 9 Ogos 2021.
Menerusi perkahwinan itu mereka dikurniakan empat anak iaitu Uwais Alqarni, 12, Dzahira Talita Zahra, 10, Ariq Matin, 8, dan Ayash Affan, berusia setahun lima bulan.
BHOnline