Gagal isytihar harta, isteri Daim didakwa

 

Oleh Pena Merah

Gagal isytihar harta, isteri Daim didakwa
Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pagi tadi.

Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini kerana gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan harta

Bagaimanapun, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, 67, mengaku tidak bersalah sejurus tuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Azura Alwi.



Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa memberi satu pernyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi terma notis mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November lalu yang dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta itu membabitkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua Mercedes Benz, selain lapan hartanah membabitkan Menara Ilham, sebuah kediaman di Bukit Tunku, di sini serta enam lagi bangunan dan lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, di sini; Cantoment Road, Pulau Pinang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr Ismail, di sini.

Kesalahan didakwa dilakukan di ibu pejabat SRPM, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya, pada 13 Disember lalu mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM100,000 jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Feisal Mohd Azmi, mencadangkan jaminan RM500,000 terhadap tertuduh.



“Syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah dan tertuduh dikehendaki melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

“Tertuduh dalam kes ini adalah sama seperti tertuduh lain, kami berpendapat adalah adil untuk tetapkan syarat seperti tertuduh kes lain,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela Na’imah, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin, menyifatkan cadangan jaminan pendakwaan itu sebagai terlalu tinggi sebelum mencadangkan anak guam diikat jamin RM250,000.

“Jumlah jaminan mesti sesuai dengan kesalahan didakwa dilakukan. Anak guam tidak terbabit kes jenayah seperti keganasan yang menjadikan beliau ada risiko melarikan diri.



“Na’imah sudah memberi kenyataan dan tunggu untuk melawan kes ini, tiada sebab melaporkan diri setiap bulan,” katanya.

Hakim membenarkan jaminan RM250,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah hingga kes selesai.

Tiada syarat melaporkan diri dan sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Mac ini.

Terdahulu, Nai’mah hadir dengan memakai baju kurung hijau dan diiringi beberapa individu dipercayai peguamnya sebelum memasuki lobi mahkamah jam 8.30 pagi.



Na’imah kelihatan tenang ketika dirakam gambar dan video oleh puluhan pengamal media yang yang berkumpul sejak jam 8 pagi.

Pada 10 Januari lalu, Na’imah bersama dua anaknya, Muhammed Amin dan Muhammed Amir, memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, bagi membantu siasatan rasuah terhadap Daim.

Ketika sidang media di pekarangan ibu pejabat berkenaan, Na’imah mendakwa suaminya dianiaya disebabkan kejayaan sebagai ahli perniagaan sehingga digelar hartawan dan jutawan biarpun sebelum menyertai kerajaan.

Beliau berkata disebabkan kejayaan itu, ia dijadikan alasan untuk memfitnah nama baik Daim dan menggambarkannya sebagai seorang perasuah.



Daim sebelum ini dilaporkan antara yang turut disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan UMNO ketika parti itu mentadbir negara.

Siasatan itu kesinambungan daripada pendedahan dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Susulan itu, SPRM pada Jun lalu membekukan akaun bank berjumlah lebih RM39 juta antara lain membabitkan milik bekas menteri kanan, dua ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan ahli keluarga mereka.

Pembekuan itu membabitkan 192 akaun bank, merangkumi 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu.



Bulan lalu, SPRM turut menyita Bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, di sini, yang dikatakan milik keluarga Daim.

Menara Ilham difahamkan mempunyai ketinggian 274 meter merangkumi hotel empat bintang, pejabat rasmi, galeri, medan selera serta kedai cenderamata, manakala sebanyak 33 tingkat aras untuk kegunaan pejabat dan selebihnya adalah apartment.

-Berita Harian-


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading