Derma mesin dialisis untuk saham akhirat

Kangar: Walaupun mengalami masalah pendengaran sejak tujuh bulan lalu, ia bukan halangan seorang pekerja pembersihan menyumbang mesin dialisis untuk kegunaan orang ramai.

Khalipulizan Mansur, 54, mengambil keputusan mewakafkan dua buah mesin dialisis bernilai RM80,000 untuk digunakan pesakit yang mendapatkan rawatan di Pusat Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF)-Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Kangar.

Dia yang mesra dipanggil Kali, mendermakan dua buah mesin dialisis itu selepas dia mendapat hasil jualan tanah dihibahkan kepadanya oleh datuk dan neneknya yang meninggal dunia lebih 10 tahun lalu.



Ketika ditemui media, dia bagaimanapun sukar untuk mendengar pertanyaan spontan sebaliknya lebih senang ditanya menerusi soalan bertulis kepadanya.

Katanya, dia menjual tanah seluas 1.007195 hektar pemberian datuk dan neneknya yang terletak di Jalan Semadong, Beseri pada Disember tahun lalu dan membeli mesin dialisis itu sekitar awal Januari lalu di Pulau Pinang.

“Hasil jualan tanah itu kemudian membuatkan saya terfikir untuk berbakti dan melabur dalam saham akhirat di mana saya berniat untuk mewakafkan dua mesin dialisis buat Jerman ini untuk digunakan pesakit di pusat dialisis tempat saya bertugas.



“Setiap hari saya melihat ramai orang dari pelbagai bangsa datang ke sini untuk menjalani dialisis disebabkan buah pinggang mereka tidak berfungsi jadi saya tidak sampai hati untuk melihat mereka menderita sebegitu.

“Selain itu juga, ini sebagai salah satu sumbang bakti saya kepada tempat saya bertugas dan ia diwakafkan atas nama datuk dan nenek saya untuk mereka terus mendapat manfaat dan limpahan pahala dan rahmat secara berterusan walaupun mereka sudah tiada lagi,” katanya ketika ditemui.

Katanya sejak kecil, dia diserahkan ibu bapa kepada datuk dan nenek untuk dijaga sehinggalah dewasa dan pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak tunggal lelaki namun bercerai manakala anaknya maut dalam kemalangan pada 2014 di Behor Empiang, Kangar.

“Namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan kehidupan ini dengan tenang dan alhamdulillah, sudah 15 tahun saya bertugas sebagai pekerja pembersihan di pusat dialisis itu dengan pendapatan bersih RM1,300, cukuplah hendak jalani hidup ini di Perlis,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button