Anggota tentera maut, rakan cedera dalam kemalangan di Lebuh SPA

22/12/2020 10:22 PM

MELAKA, 22 Dis — Seorang anggota tentera maut manakala rakannya cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan lori di lampu isyarat Taman Paya Emas di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata mangsa, Mohd Hairie Mohd Shah, 22, yang menunggang motosikal, maut di tempat kejadian manakala rakannya, Benedict Anak Johnson, 25, mengalami luka di kepala, muka, kaki dan tangan dalam insiden pada kira-kira 4 petang tadi.



Afzanizar berkata pemandu lori berusia 25 tahun, yang bekerja sebagai penunda kereta, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata pihaknya masih menyiasat pangkat kedua-dua anggota tentera dan kem di mana mereka bertugas.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila lori terbabit, yang datang dari arah Kampung Bertam Ulu, telah berhenti di lampu isyarat Taman Paya Emas sebelum membelok ke kanan menuju ke Ayer Keroh namun secara tiba-tiba, datang sebuah motosikal yang ditunggangi anggota tentera tersebut dari arah Cheng telah melanggar bahagian kanan lori berkenaan.

“Penunggang motosikal tersebut telah disahkan maut di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan manakala pemboncengnya mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” menurutnya dalam kenyataan di sini malam ini.



Afzanizar berkata mayat Mohd Hairie dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata pemandu lori dibawa ke Hospital Melaka untuk diambil sampel darah yang akan dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pengesanan kandungan alkohol dan dadah.

Katanya pihak polis meminta individu atau saksi yang melihat kemalangan itu tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan termasuk punca kemalangan.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button