Warga emas cedera diragut

Gombak: Wanita warga emas cedera akibat tersembam di atas jalan selepas rantai lehernya ditarik peragut di Taman Sri Batu Caves, Batu Caves di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, dalam kejadian 10.45 pagi kelmarin, wanita berusia 64 tahun itu sedang berjalan dengan suaminya di Jalan SBC 1 Taman Sri Batu Caves.

“Tiba-tiba datang lelaki menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna biru merapati mereka dan cuba meragut rantai leher emas dipakai mangsa yang juga warga Singapura.



“Suspek bagaimanapun gagal mengambil rantai itu kerana ia putus dan jatuh atas jalan. Menyedari cubaannya gagal, suspek kemudian memecut laju bagi melarikan diri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya turut mengesan video berdurasi 39 saat tular di media sosial yang memaparkan kejadian berkenaan.

“Mangsa terbabit mengalami kecederaan ringan di lutut dan tangan kanan. Usaha untuk mengesan suspek masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Flidza Che Ibrahim di talian 0169537372 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, 0361262222.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button