Scammer minta derma gempa bumi
Scammer minta derma gempa bumi
ISTANBUL: Bencana gempa bumi yang melanda tenggara Turkiye dan Syria kini menjadi lubuk rezeki bagi penjenayah untuk membuat penipuan dalam talian atau scammer yang mengiklankan derma atau sumbangan menerusi akaun bencana palsu.
Lapor BBC, mereka menggunakan modus operandi meraih simpati masyarakat antarabangsa dengan menggunakan gambar-gambar bencana yang memaparkan wajah kanak-kanak yang sengsara dan pasukan penyelamat.
Sehubungan itu, pakar keselamatan antarabangsa memberi amaran berhubung kewujudan jenayah ini yang kini berleluasa di laman sesawang.
Para scammer dikatakan mengambil kesempatan dengan menggunakan kesengsaraan orang lain dengan memperdaya orang ramai supaya menderma ke akaun-akaun bencana palsu yang diiklankan.
GUNA TIKTOK, TWITTER
Bagi memudahkan transaksi, scammer-scammer ini dikatakan menggunakan akaun Paypal dan mata wang kripto manakala media sosial yang paling banyak digunakan adalah TikTok dan Twitter.
Penipuan ini kononnya mengumpul wang untuk mangsa yang terselamat, namun, semuanya masuk ke poket mereka sendiri.
“Di TikTok Live, pencipta kandungan boleh menjana wang dengan menerima hadiah digital. Kini, akaun TikTok menyiarkan foto kemusnahan, rakaman TV yang menunjukkan usaha menyelamat, sambil meminta derma,” menurut pakar keselamatan lagi.
Para scammer juga menggunakan kapsyen gambar dan video termasuk frasa ‘mari kita bantu Turkiye’, ‘berdoa untuk Turkiye’ dan ‘menderma untuk mangsa gempa bumi’.
PERDAYA MASYARAKAT
Pakar keselamatan siber di Sonatype, Axe Sharma berkata, terdapat akaun Twitter mengulang kali ciapan artikel berita dan membalas tweet oleh selebriti dan perniagaan bagi mendapatkan perhatian orang ramai.
“Mereka mencipta akaun bantuan bencana palsu yang kelihatan seperti organisasi atau saluran berita yang sah, tetapi kemudian memacu dana ke alamat PayPal mereka sendiri,” katanya kepada BBC.
Terdapat satu akaun TikTok yang disiarkan secara langsung selama lebih tiga jam menunjukkan imej berpiksel bangunan yang musnah disertai kesan bunyi letupan.
Namun, di luar kamera, terdengar suara lelaki ketawa dan bercakap dalam bahasa Mandarin. Kapsyen video itu ialah ‘Mari kita bantu Turki. Derma’.
MERAYU DEMI HADIAH TIKTOK
Satu lagi video menunjukkan gambar kanak-kanak yang tertekan berlari akibat letupan. Mesej hos strim langsung itu ialah ‘tolong bantu mencapai matlamat ini’, rayuan jelas untuk mendapatkan hadiah dalam TikTok.
Namun, bagaimanapun, gambar kanak-kanak itu didakwa bukan dari gempa bumi minggu lalu.
Penyiasatan BBC mendapati TikTok mengambil sehingga 70 peratus daripada hasil hadiah digital walaupun TikTok menyatakan pihaknya mengambil kurang daripada jumlah berkenaan.
Bagaimanapun, jurucakap TikTok memberitahu BBC, pihaknya juga berasa sangat sedih dengan gempa bumi yang dahsyat di Turkiye dan Syria serta menyumbang untuk membantu usaha bantuan gempa bumi.
“Kami juga sedang giat berusaha untuk menghalang orang ramai daripada menipu dan mengelirukan ahli komuniti yang ingin membantu,” kata jurucakap itu.
Di Twitter, terdapat komuniti yang berkongsi imej emotif bersama pautan ke dompet mata wang kripto yang meminta derma.
Terdapat juga satu akaun Twitter menyiarkan rayuan yang sama lapan kali dalam masa 12 jam, dengan imej seorang anggota bomba memegang seorang kanak-kanak kecil di tengah-tengah bangunan yang runtuh.
Scammer minta derma gempa bumi
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Umum rehat politik, Azmin takut kalah
- Sudah tukar Empat Perdana Menteri masih tidak mampu dakwa Zeti.
- Pemilihan – ‘Broker’ pasang proksi untuk kuasai Umno
- Yang dipecat dan digantung keahlian letak harapan pada calon proksi dipemilihan UMNO.
- Netizen gesa tindakan tegas atas bekas atlet
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Rakyat teruja bila dengar SPRM panggil Daim beri keterangan.