Real Madrid ‘ayam-ayamkan’ Liverpool

LIVERPOOL: Vinicius Junior dan Karim Benzema masing-masing meledak dua gol ketika Real Madrid sekali lagi bangkit melakar kemenangan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah dengan membelasah Liverpool 5-2 selepas ketinggalan 2-0.

Dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir di Anfield itu, Darwin Nunez dan Mohamed Salah meletakkan tuan rumah di depan, bertemu lawan sama di final kejohanan musim lalu.

Namun Vinicius menjaringkan dua gol sebelum rehat untuk menyamakan kedudukan, dan selepas Eder Militao meletakkan anak buah Carlo Ancelotti di depan, dua gol Benzema memastikan kemenangan buat juara bertahan itu.

“Kami diasak hebat dari mula, anda tidak boleh memulakan permainan sebegitu, tetapi mujurlah pasukan ini mempunyai pemain-pemain yang tenang.



“Barisan depan kami cukup berkesan. Setiap kali kami mematahkan asakan Liverpool, kami berjaya mencipta peluang,” kata Ancelotti.

Kekalahan itu menambahkan lagi derita Liverpool musim ini, yang pada musim lalu begitu hampir untuk menjulang empat kejuaraan.

Skuad kendalian Jurgen Klopp kini menghuni tangga kelapan Liga Perdana Inggeris dan peluang untuk menjulang sebarang trofi musim ini hampir tertutup sepenuhnya.

“Saya rasa Carlo memikirkan yang pertembungan ini sudah selesai dan saya juga begitu buat masa ini. Dalam tempoh tiga minggu kami akan cuba bangkit.



“Kami akan ke sana untuk memenangi perlawanan. Sama ada ia berjaya atau tidak, saya tidak tahu, tetapi kami akan cuba,” kata Klopp.

Kedua-dua pasukan akan bertemu kembali pada 15 Mac nanti, tetapi aksi timbal balik itu dilihat hanya sebagai pelengkap buat Madrid yang kini terbukti sebagai pasukan terunggul Eropah.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker