Barca dimalukan Almeria

 

Almeria: Pendahulu La Liga, Barcelona mencatat keputusan memalukan apabila tumpas 0-1 kepada Almeria pagi tadi sekali gus gagal memanfaatkan keputusan seri di antara Real Madrid dan Atletico untuk melebarkan jurang.

Jaringan El Bilal Toure pada separuh masa pertama memisahkan antara kedua-dua pasukan dan memberikan Almeria kemenangan pertama mereka ke atas Barca, yang tumpas buat kali kedua dalam kempen liga.



Pasukan bimbingan Xavi Hernandez masih lagi mendahului liga dengan kelebihan tujuh mata ke atas penyandang juara, Real namun semangat mereka bertambah menurun selepas tersingkir dari Liga Europa pada pertengahan minggu lalu ketika menentang Manchester United.

Barca akan berdepan Ral dalam saingan Clasico separuh akhir pertama Copa del Rey Jumaat ini di Santiago Bernabeu, tatkala kelemahan mereka semakin dapat dihidu pasukan lawan.

Kemenangan mampu melebarkan kelebihan mereka dalam perebutan kejuaraan kepada dua angka, ketika mereka berusaha untuk memenangi La Liga buat kali pertama sejak 2019.



Madrid menewaskan Barcelona dalam perlawanan liga Oktober lalu untuk kekalahan pertama mereka dan Almeria menamatkan rentetan 13 perlawanan liga tanpa kalah Barca.

“Saya sangat marah kerana saya fikir kami bermain permainan terburuk musim ini,” kata Xavi kepada Movistar.

“Pada separuh masa pertama, kami tidak dapat menggerakkan bola, kami kurang keamatan, kelajuan, pada hari di mana kami tidak boleh melakukan kesalahan.



“Kami tidak menunjukkan semangat (kami perlukan) untuk memenangi perlawanan. Pada separuh masa kedua, ya, tetapi mereka bertahan dengan baik.”

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button