Negeri Sembilan kempunan raih tiga mata penuh

Seremban: Hasrat Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk mendapatkan kemenangan tidak kesampaian apabila terikat seri 1-1 dengan Sri Pahang FC, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Gol jaringan Anselmo Arruda Da Silva pada minit ke-20 ternyata tidak bertahan apabila Abdul Malik Mat Ariff menjaringkan gol penyamaan pada awal babak kedua.

Sebaik aksi dimulakan kedua-dua pasukan dilihat berusaha mendapatkan rentak terbaik dengan sesekali menguji bahagian pertahanan masing-masing.

Pahang mendapat peluang menguji gawang Negeri Sembilan pada minit keenam, namun percubaan David Romley, tersasar melepasi palang.

Skuad bimbingan K Devan yang dilihat mula mendapat rentak melakukan percubaan ke arah pintu gol lawan menerusi Da Silva pada minit ke-15, tetapi percubaan di penjuru kiri itu dapat ditepis penjaga gol Sri Pahang, Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Bagaimanapun, usaha Da Silva untuk mendapatkan gol akhirnya berjaya menerusi jaringan pada minit ke-20.

Rembatan derasnya dari dalam kotak penalti selepas menerima hantaran bola dari sebelah kanan menggegar jaring Sri Pahang sekali gus meletakkan tuan rumah berada di depan.

Jaringan itu mencabar kekuatan skuad Sri Pahang yang dibimbing lagenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, apabila mereka menggandakan asakkan ke kawasan kubu Negeri Sembilan.

Tandukan Kpah Sherman pada minit ke-45 selepas menerima hantaran dari bahagian tepi bagaimanapun berjaya ditepis penjaga gol Negeri Sembilan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Ketika minit-minit terakhir separuh masa pertama, Izham Tarmizi mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas bertembung dengan Hasbullah Abu Bakar hingga menyebabkan dia dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Bersambung babak kedua, kelebihan tuan rumah tidak berpanjangan apabila pemain gantian Abdul Malik menanduk bola hantaran lintang daripada David Romley ke gawang Negeri Sembilan untuk gol penyamaan pada minit ke-47.

Kedua-dua pasukan dilihat berusaha untuk menambah jaringan namun gagal menemui sasaran apabila perlawanan berkesudahan seri 1-1 sehingga tamat permainan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan meraih satu mata.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker