Gol Yazan selamatkan Selangor

KUALA LUMPUR: Selangor FC enggan tercicir seperti pencabar kejuaraan yang lain apabila membuka kempen musim 2023 menerusi kemenangan tipis 1-0 ke atas pendatang baharu Liga Super, Kelantan United (KUFC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Tiga mata yang diraih ‘The Red Giants’ pasti melegakan terutamanya buat pengendali, Tan Cheng Hoe yang mengakui pasukannya belum lagi ‘panas’ dan tidak berada pada tahap sebenar bagi mengharungi musim baharu ini.

Kekalahan ini menyaksikan KUFC yang digelar ‘The Green Deer’ menyertai tiga lagi pendatang baharu iaitu Kelantan FC, PDRM FC dan Perak FC yang turut kecundang pada aksi pembukaan.

Pada aksi terbabit, 15 minit pertama berlalu tanpa sebarang aksi menarik selepas kedua dua pasukan tercari rentak meskipun SFC menikmati lebih banyak penguasaan dan KUFC bertahan dengan baik serta melancarkan serangan balas pantas.



Peluang terbaik SFC hadir pada minit ke-20 apabila hantaran Hein Htet Aung menemui Ayron del Valle namun percubaannya terhalang sebelum pertahanan KUFC, Yan Victor mengeluarkan hantaran lintang Ahmad Zikri Khalili seminit berselang.

Mutu pengadilan mencuri tumpuan selepas pemain tuan rumah mendakwa bola terkena tangan pemain KUFC sebanyak tiga kali sepanjang babak pertama namun KUFC dilihat bernasib baik apabila permintaan SFC tidak ‘dilayan’ pengadil, Mohamad Zaimzaidi Katimin.

Meskipun Ahmad Asyraaf Omar cemerlang menafikan percubaan jauh Fazly Mazlan pada minit ke-38, penjaga gol KUFC itu akhirnya tewas menerusi tandukan Yazan Al Arab dua minit berselang untuk gol pembukaan SFC.

Bersambung babak kedua, Khairul Azhan Khalid memastikan gawangnya tidak dibolosi apabila merebahkan badan untuk menepis percubaan Muhammad Asraf Alifuddin Yasin pada minit ke-62.



Del Valle terus menunggu untuk mendapatkan gol pertamanya apabila kali ini, tandukannya pada minit ke-82 ditepis Ahmad Asyraaf sebelum giliran Khairul Azhan menafikan peluang Muhammad Aqil Hilman Danial Roslan pada minit ke-85.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker