Pengurus jenazah ‘diusik wanita’ berbaju kebaya lusuh

Bertugas sebagai pengurus jenazah memerlukan kekuatan mental dan fizikal, selain kecekalan kerana sudah pasti melalui pelbagai rencam demi menunaikan tuntutan fardu kifayah.

Ketika mengurus jenazah pastinya tidak sunyi melalui kisah seram dan teladan yang menginsafkan diri.

Bagi Ahmad Fazli Zainal Abidin, 39, sudah 10 tahun berkecimpung dalam bidang itu melalui pelbagai pengalaman dari kisah tragis, sedih, seram dan lucu.

Tugasnya menguruskan jenazah daripada memberi bantuan, nasihat kepada waris, memandikan, mengkafankan dan menghantar ke pelbagai lokasi termasuk ke Sabah dan Sarawak yang bergerak di bawah Afza Kifayah, iaitu badan bukan kerajaan (NGO) bagi pengurusan jenazah.

Diganggu wanita berkebaya lusuh

Ahmad Fazli atau mesra disapa Limok, berkata tugas beliau hanya berseorangan mengurus termasuk memandu kenderaan jenazah untuk membawa jenazah ke kediaman mereka.

Kongsinya, ada beberapa pengalaman sedih dan seram yang terus kekal dalam memorinya.

“Kejadian beberapa tahun lalu, seperti biasa saya bertugas berseorangan menghantar jenazah dari sebuah hospital di Kuala Lumpur ke Rantau Panjang, Kelantan. Jenazah tiba ke rumah waris dengan selamat, kira-kira jam 2.30 pagi.

“Kemudian bertolak balik ke rumah saya di Puncak Alam, Shah Alam, Selangor. Ketika tiba di satu kawasan di Tanah Merah, Kelantan saya ternampak susuk badan mengenakan baju kebaya lusuh dan berpayung kertas (payung kubur lama) berjalan seorang diri.

“Melihat itu hati saya berdebar-debar, ketika semakin menghampiri makhluk berkebaya itu, ia sama-sama bergerak selaju kenderaan jenazah yang saya pandu.

“Berderau darah saya dan macam-macam ayat saya baca. Tapi mujur gangguan tak lama, benda itu hilang selepas berselisih dengan lori ikan.

“Apabila sudah hilang, saya jadi risau. Saya membayangkan seperti cerita seram di televisyen apabila benda seperti ini hilang, tetapi kemudian akan masuk dalam kenderaan duduk di belakang atau di sebelah pemandu.

“Tapi mujurlah, tiada kejadian sebegini,” tawanya mengenangkan peristiwa itu.

Jenazah tiba-tiba beri salam 3 kali

Pengalaman lain yang dilalui ini pula disifatkan aneh tapi benar, iaitu ketika menghantar jenazah ke Tanah Perkuburan Puncak Alam, tiba-tiba jenazah itu memberi salam tiga kali kepada saya.

“Ketika itu, saya tidak panik atau takut, sebaliknya hanya berfikiran positif dan menginsafkan saya, mungkin jenazah itu orang beriman yang mempunyai banyak amalan.

“Dalam satu lagi kejadian, ketika menghantar jenazah wanita dari sebuah hospital di Selangor ke kampung waris di Bentong, Pahang. Setiba di satu kawasan di Bentong, saya dengar suara jenazah itu berzikir.

“Seperti biasa saya perlu mententeramkan diri untuk tidak berfikir macam-macam. Selepas selesai menghantar jenazah tadi, saya singgah minum di sebuah kedai berhampiran dan bercerita mengenai kejadian itu.

“Saya dimaklumkan oleh pemilik kedai itu, jenazah berkenaan adalah seorang ustazah. MasyaAllah…Subhanallah…

“Itulah kebesaran Tuhan yang sekali gus memberi iktibar untuk saya menjadi insan lebih beriman,” katanya juga pengasas Afza Kifayah.

Urus jenazah COVID-19

Beliau juga melalui peristiwa paling menyayat hati apabila perlu menguruskan jenazah pasangan suami isteri berusia 40-an, yang meninggal dunia akibat COVID-19.

Yang menyedihkan kematian kedua-duanya itu berlaku selang antara satu sama lain dalam tempoh 24 jam.

“Awalnya saya menerima panggilan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), meminta urus jenazah wanita mangsa COVID-19 dan menghantar ke kampungnya di Melaka.

“Disebabkan tidak menatap jenazah, waris, meminta saya melintasi depan rumah supaya anak-anak arwah dapat melihat keranda.

“Sedih melihat wajah tiga anak arwah ditinggalkan ibunya dalam usia masih kecil. Selesai mengurus dan mengebumikan jenayah itu saya pulang ke Kuala Lumpur.

“Esoknya, pula mendapat panggilan lagi dari HKL meminta saya menguruskan dan menghantar satu lagi jenazah lelaki ke Melaka, juga meninggal akibat COVID-19.

“Rupanya jenazah itu adalah suami kepada jenazah wanita itu yang baru dikebumikan beberapa jam lalu.

“Sekali lagi, saya melintasi rumah sama supaya anaknya dapat melihat keranda dari jauh. Saya tak dapat menahan sedih dan air mata berjurai mengenang nasib mereka dalam masa 24 jam anak-anak itu kehilangan ayah serta ibu,” katanya.

Kisah lucu, terkencing dalam pampers

Berkongsi lanjut, selain kisah seram dan sedih, terselit juga kisah lucu ketika beliau menghantar jenazah jauh di luar kawasan terutama ketika wabak COVID-19.

Katanya, beliau perlu menguruskan jenazah mangsa COVID-19 untuk dihantar ke pelbagai lokasi dengan lengkap pakaian perlindungan diri (PPE) sepenuhnya.

“Memang tidak selesa, terseksa selain perlu menahan lapar serta dahaga kerana perjalanan yang jauh dan paling teruk terpaksa menahan kencing.

“Kali kedua, menguruskan jenazah mangsa COVID-19 ke luar daerah, saya pakai lampin pakai buang dewasa.

“Tak pernah pakai, bila nak buang air kecil sangat tak selesa, kebetulan pula untuk jenazah kedua ada pemandu kedua, susah betul kencing ada orang di sebelah,” katanya.

Namun, selepas itu boleh dikatakan setiap hari beliau akan bertugas membawa jenazah COVID-19 ke luar daerah.

“Ada satu kes ketika ke Kelantan, dah mula selesa pakai lampin dewasa, apabila rasa nak terkencing, terus saja kencing.

“Sampai saja Kuala Krai, turun kereta saya tengok tempat duduk basah, rupanya lampin bocor,” katanya sambil ketawa.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker