Jana Wibawa: Adam Radlan didakwa kali ketiga kes rasuah RM2 juta

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, didakwa untuk kali ketiga dalam tempoh lapan hari berhubung projek Jana Wibawa dengan yang terbaru di Mahkamah Sesyen, hari ini, atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.

Bagaimanapun, Adam Radlan, 42, yang juga ahli perniagaan mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pada 22 Februari lalu, Adam Radlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama.



Mengikut pertuduhan, Adam Radlan sebagai Pengarah Syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd menerima suapan RM2 juta melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat itu daripada Lian Tan Chuan sebagai upah membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM141 juta.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan RM2.1 juta menerusi akaun sama daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM47.8 juta.

Sehari sebelum itu, ahli perniagaan terbabit membuat pengakuan sama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.

Mengikut pertuduhan, ahli perniagaan itu didakwa meminta suapan iaitu wang tunai antara 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh.



Ia sebagai dorongan untuk membantu MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd mendapatkan surat setuju terima bagi projek di bawah program Jana Wibawa daripada Kerajaan Malaysia.

Adam Radlan juga didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi projek membina jalan terbabit secara rundingan terus bernilai RM47.8 juta.


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading