‘Biar kakak kahwin dululah…’

NAMA pelakon, Afifah Nasir menjadi bualan ramai selepas dia menjayakan program komedi popular Sepahtu Reunion Live.

Ketika berlakon dalam program, Afifah kerap ketawa hingga membuat penonton turut ketawa bersamanya sekali gus menjadikan Afifah antara pelakon undangan kegemaran program komedi itu.

Bukan Afifah saja, malah kakaknya, Anzalna Nasir turut dikenali dengan sikap ‘mudah terhibur’.



Klip ringkas yang dikongsikan mereka juga menarik perhatian apabila mentertawakan bapa mereka yang terhantuk di tandas yang diperbuat dari kaca.

Terbaru, aksi Afifah di gelungsur air menjadi tular apabila hilai tawanya memenuhi ruang legar.

“Kami adik-beradik memang suka ketawa, apatah lagi kami memang jenis mudah terhibur. Mungkin bagi segelintir pihak biasa saja, namun kadang-kadang perkara itu yang buatkan kami ketawa.



“Malah, bila ketawa tu sukar pula untuk berhenti. Tapi bukanlah niat untuk sengaja meraih publisiti dan sebagainya. Sebenarnya saya sendiri tidak tahu klip-klip saya sebagai undangan program itu menjadi viral di Tik Tok.

“Saya hanya menjadi diri sendiri, jika orang suka maka terima kasih. Kepada yang kurang gemar tu, saya tak dapat buat apa,” katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai hal peribadi, Afifah berkata, dia memang mahu melangkah ke alam perkahwinan dan membina keluarga sendiri jika sudah mempunyai perhubungan serius.

Afifah ada perancangan untuk mendirikan rumah tangga tahun ini, tetapi hasrat itu perlu ditangguhkan dulu atas beberapa faktor.



Selain jadual kerja padat, Afifah lebih memilih untuk memberi laluan kepada kakaknya yang juga pelakon, Mia Nasir untuk berkahwin tahun ini.

Katanya, perasaan ingin mendirikan rumah tangga semakin berbunga-bunga apabila melihat kebahagiaan hidup rakan terdekat dan keluarganya sendiri.

“Saya seronok kakak bersama pasangan dan anak-anak mereka ketika kami bercuti bersama. Tetapi, saya tidak boleh terburu-buru berkahwin selagi kedudukan kewangan belum stabil.

“Mulanya, saya merancang berkahwin tahun ini, tetapi jadual lakonan pula penuh sepanjang tahun. Jadi, saya tangguhkan perancangan kepada tahun depan dan beri laluan kepada Mia,” katanya.



Berkongsi majlis perkahwinan impian, gadis kelahiran Bukit Gelugor, Pulau Pinang ini inginkan majlis sederhana yang hanya dihadiri keluarga terdekat.

Namun, katanya, ibu bapa mahukan majlis meriah dan dapat mengundang sanak-saudara dan rakan taulan.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button